MACA perkukuh kerjasama rentas agensi tangani jenayah kewangan

AKADEMI Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) terus memperkukuh kerjasama rentas agensi dalam meningkatkan keupayaan penyiasatan kewangan menerusi Program Latihan Bersasar Kumpulan Kerja Fraud Kewangan (KKFK) [7] yang berlangsung selama tujuh hari, bermula 18 hingga 28 Ogos lalu.

Program yang dikendalikan oleh Sekolah Penyiasatan dan Forensik MACA, Bahagian Analisa Kewangan SPRM serta Kumpulan Kerja Fraud Kewangan (KKFK) itu dirangka khusus bagi memperkasa kompetensi pegawai penyiasat dalam bidang siasatan kewangan menerusi pendekatan pembelajaran bersemuka, analisis kajian kes sebenar dan latihan amali.

Program berkenaan melibatkan pegawai daripada tujuh agensi ahli KKFK, antaranya Jabatan Audit Negara (JAN), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Malaysian Institute of Accountants (MIA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Pengarah Kanan MACA, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin di Dewan Tun Ismail, MACA.

Dalam ucapannya, Mohamad Zamri menegaskan bahawa landskap jenayah kewangan yang semakin kompleks dan dinamik memerlukan keupayaan penyiasatan yang lebih menyeluruh, responsif serta bersepadu bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Beliau turut merujuk dapatan National Risk Assessment (NRA) 2023 yang menunjukkan ancaman fraud kewangan dan pengubahan wang haram di Malaysia perlu diberikan perhatian serius.

“Rasuah boleh menjadi pemudah cara kepada pelbagai bentuk jenayah berat lain, termasuk penyeludupan dan jenayah terancang. Justeru, usaha memutuskan rantaian rasuah merupakan elemen penting dalam membanteras jenayah kewangan secara berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar agensi-agensi ahli KKFK terus memperkukuh mekanisme kerjasama melalui perkongsian maklumat, integrasi data dan pembentukan pasukan petugas bersama (joint-agency task force) bagi mempercepatkan tindakan serta meningkatkan keberkesanan dan impak siasatan.

Dalam masa yang sama, MACA kekal komited untuk menyokong usaha bersepadu rentas agensi melalui pembangunan kapasiti dan kepakaran dalam bidang strategik termasuk forensik digital, analisis kewangan serta pengesanan aset kripto.

Inisiatif ini selaras dengan peranan MACA sebagai pusat kecemerlangan latihan pencegahan rasuah dalam memperkukuh keupayaan SPRM dan agensi rakan strategik menghadapi ancaman jenayah kewangan yang semakin kompleks.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here