JUMLAH keahlian Pas kini melebihi satu juta orang, sekali gus menggambarkan sokongan terhadap parti itu yang semakin meningkat.
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, angka berkenaan tidak termasuk sokongan daripada golongan bukan ahli dan juga wakil dari luar negara yang dianggarkan lebih daripada satu juta dan mungkin menjangkau antara tiga ke empat juta.
“Orang yang dahulu daripada UMNO, daripada parti-parti lain ataupun mereka yang tidak berparti termasuk golongan yang sebelum ini tidak cakna mengenai politik.
“Orang sukan, pemain bola dan artis sekarang ini sudah ramai yang menjadi ahli PAS,” katanya ketika Ceramah Perdana Jubli Intan 75 Tahun Pas Pusat di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu malam ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, Pas bukan sebuah parti yang baharu ditubuhkan sebaliknya sudah berusia 75 tahun selepas diasaskan pada tahun 1950-an oleh generasi terdahulu, yang membawa seruan Islam.
Katanya, perjuangan Pas yang berteraskan Islam terus diwarisi sehingga ke hari ini.
“Kita doakan semoga perjuangan mereka yang telah meninggalkan kita mendapat ganjaran besar daripada Allah SWT kerana mengasaskan sebuah parti yang berteraskan Islam,” katanya.





