SUSPEK lelaki berusia 49 tahun dalam kes seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai dikelar di Jalan Rantau Panjang Jaya di Sibu direman selama enam hari lagi bagi membantu siasatan polis.
Perintah reman sehingga 10 September itu dikeluarkan Majistret Romario Jonoi di Mahkamah Majistret Sibu hari ini.
Suspek sebelum ini direman selama enam hari bermula 29 Ogos lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang pada 28 Ogos lalu, mangsa dipercayai mengalami kecederaan akibat dikelar pada bahagian leher oleh suspek yang juga bapa saudaranya.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan suspek dan beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan turut dirampas di lokasi kejadian.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.





