Bomba bertindak pantas kawal kebakaran Jeti Chew di Georgetown

KEPANTASAN pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bertindak, berjaya mengawal kebakaran lima premis di Jeti Chew di Georgetown, awal pagi tadi daripada merebak ke stesen minyak berhampiran.

Lima premis berkenaan membabitkan sebuah kedai cat kereta, bengkel kereta, kedai kimpalan, kedai barangan lusuh dan kilang kayu.

Pegawai Operasi JBPM Pulau Pinang Zon 1 Daerah Timur Laut, Penolong Penguasa Bomba Rusli Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.08 pagi berhubung kejadian itu.

Susulan itu, beliau berkata, operasi pemadaman segera dijalankan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, BBP Jalan Perak, BBP Paya Terubong dan BBP Bayan Baru dengan kekuatan seramai 30 anggota.

“Setiba di lokasi, api didapati marak dengan cepat berikutan kedudukan setiap premis itu berada dalam keadaan rapat.

“Operasi itu turut dibantu sebanyak 17 Pasukan Bomba Sukarela (PBS), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika ditemui di lokasi, lapor BH.

Bagaimanapun, Rosli berkata, tiada mangsa terbabit dalam insiden berkenaan.

Jeti Chew adalah antara mercu tanda tepi laut yang paling dikenali di George Town dan diasaskan oleh imigran Cina dari wilayah Fujian yang berkongsi nama keluarga Chew.

Ia menjadi lokasi tumpuan pengunjung dengan laluan pejalan kaki kayu yang unik serta rumah tradisional yang dibina di atas tiang, selain menjadi sebahagian daripada warisan masyarakat Cina sejak abad ke-19.

Terletak di sepanjang kawasan perairan bersejarah Georgetown, Jeti Chew merupakan jeti masyarakat Cina terbesar dan antara yang tertua di Pulau Pinang.

Sementara itu, seorang mangsa, Toh Aik Aun, 50, berkata, premis percetakan kemeja-T yang diusahakannya sejak kira-kira 30 tahun lepas musnah dalam kejadian itu.

“Sebenarnya terdapat ratusan helai pakaian pelanggan yang masih menunggu untuk disiapkan dan dihantar. Semua musnah,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Hong Jing Lian, 60, berkata, kedai mengecat kereta miliknya yang telah beroperasi sejak 1997 turut musnah dengan kerugian dianggarkan mencecah RM1 juta.

Beliau berkata, antara kenderaan yang berada di premis berkenaan ketika kejadian termasuk Suzuki Swift, Mercedes-Benz C-Class dan BMW.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here