CUBAAN seorang lelaki melarikan diri daripada sekumpulan penyerang dengan terjun ke Sungai Kinta tidak berhasil apabila dia tetap ditetak menggunakan parang dalam kejadian di Taman Pengkalan Jaya, Ipoh, Selasa lalu.
Mangsa berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan parah di muka, tangan, kaki dan belakang badan selepas diserang sekumpulan lelaki ketika berada di kandang lembu miliknya kira-kira jam 10.30 pagi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, susulan kejadian itu, polis menahan 11 lelaki warga tempatan berusia antara 22 hingga 41 tahun dalam beberapa operasi berasingan.
“Lima suspek yang menaiki dua kenderaan telah bertindak mengejar mangsa sebelum menyerangnya menggunakan parang.
“Mangsa cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Kinta, bagaimanapun ditetak oleh salah seorang suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Alwi berkata, mangsa kemudian dibantu orang awam sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah dan jenayah kekerasan.
“Kesemua tangkapan telah direman bagi membantu siasatan berhubung kes serangan ini serta penglibatan mereka dalam kumpulan jenayah terancang,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada unsur dendam dan rasa tidak puas hati melibatkan kumpulan jenayah terancang terhadap mangsa.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah terancang diminta tampil menyalurkannya kepada pihak polis melalui bilik gerakan atau mana-mana balai polis berhampiran.





