ALIRAN trafik dilaporkan terhenti di arah utara, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Kilometer 8.4 susulan kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan ayam yang menutup semua lorong, tengah malam tadi.
Plustrafik dalam satu hantaran di media sosial memaklumkan semua lorong arah utara di lebuh raya itu terhalang malah lorong kanan arah selatan turut terhalang akibat kemalangan itu.
Susulan itu, orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif keluar dari lebuh raya di Plaza Tol Setia Alam kerana laluan ke arah utara tidak bergerak.
Sementara itu, beberapa pengguna jalan raya yang lain yang terperangkap dalam kesesakan di NKVE memuat naik beberapa gambar memaparkan sebuah lori dipercayai membawa muatan ayam terbabit dalam kemalangan itu.
Pengguna Threads, @mainorhanis memuat naik klip video memaparkan lebuh raya itu terhalang berikutan sebuah struktur dipercayai papan tanda tumbang lalu menutup semua lorong di arah utara Lebuhraya NKVE.
Satu lagi video dikongsikan oleh @azam_lampard memaparkan sejumlah ayam bergelimpangan di atas lebuh raya terbabit sementara lori yang membawa haiwan itu dilihat terbabas ke pembahagi jalan.





