POLIS menahan empat lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel dalam dua kes berasingan di daerah Kampar dan Kuala Kangsar, awal pagi semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, dalam kes pertama di Kampar, dua lelaki berusia 42 dan 46 tahun ditahan sepasukan anggota taskforce Balai Polis Malim Nawar yang sedang menjalankan rondaan di Kuil Muniswarar Bata Malim Nawar, kira-kira jam 4.30 pagi.
Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis merampas dua pemotong kabel dan lima gulung kabel yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan mencuri kabel, selain pengecaman serta pengesahan oleh juruteknik Telekom Malaysia (TM) mendapati kabel yang dirampas milik TM.
“Kabel tersebut merupakan kabel talian telefon yang telah dipotong dan tidak lagi berfungsi, dengan anggaran kerugian kepada pihak TM kira-kira RM1,000,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Dalam kejadian berasingan di Kuala Kangsar, beliau berkata, polis menerima maklumat orang awam kira-kira 3 pagi berhubung pergerakan mencurigakan dua kenderaan di sekitar Taman Sri Pagi, Kati yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan mencuri kabel.
Mohd Alwi berkata, bertindak atas maklumat tersebut, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar menjalankan tindakan susulan dan berjaya menahan dua lelaki berusia 24 dan 36 tahun di tepi Jalan Raja Chulan, Kuala Kangsar.
“Hasil pemeriksaan dan siasatan, polis merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna perak, sebatang pemotong kabel, sebatang besi penarik kabel, tiga gulung kabel, beg silang dan sebuah telefon bimbit, selain beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut,” katanya.
Beliau berkata, semakan rekod mendapati kesemua empat tangkapan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Mohd Alwi berkata, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan kesemua suspek dalam kes kecurian kabel lain sekitar daerah berkenaan.





