KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyambut baik langkah pemaju menjadikan aset lama yang tidak lagi digunakan secara optimum untuk ditransformasikan bagi mewujudkan nilai ekonomi baharu.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keberanian pelabur mengambil risiko, disokong modal, kreativiti dan pengurusan yang baik, mampu menghidupkan semula aset lama.

Menurut beliau, langkah itu juga memberi manfaat kepada ekosistem perniagaan di kawasan sekitarnya.
Sambil menegaskan aset sedemikian tidak semestinya kehilangan nilainya hanya kerana ia sudah lama ataupun tidak lagi digunakan secara optimum.
Johari memberikan penghargaan khusus kepada syarikat Menara Rezeki dan UDA kerana berani mengambil pendekatan dalam melihat potensi di sebalik sebuah bangunan lama dan memberikan kepadanya kehidupan serta fungsi baharu.
Bagi beliau, keberanian sebegini yang mahu dilihat dalam dunia keusahawanan dan pelaburan kerana dunia keusahawanan dan pelaburan ini, kita tidak boleh lari daripada berdepan dengan risiko.
“Bangunan Chinatown 1974 ini adalah simbol semangat keusahawanan yang kita mahu lihat. Berani melihat peluang di tempat yang mungkin tidak dilihat oleh orang lain dan berani melabur untuk menjadikan peluang itu satu realiti.
“Dengan visi, modal, kreativiti dan pengurusan yang baik, aset berkenaan boleh diberikan kehidupan kedua dan seterusnya mencipta nilai ekonomi baharu,” katanya ketika merasmikan China Town 1974 di Petaling Street, Kuala Lumpur hari ini. Turut berangkat, Yang Amat Mulia Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Chinatown 1974 adalah mercu tanda baharu yang mengetengahkan gaya hidup warisan retro Nanyang era 1970-an setinggi lapan tingkat di Petaling Street.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk kopitiam tradisional, restoran dim sum dan pilihan steamboat halal, sekali gus menawarkan kepelbagaian pengalaman kulinari kepada pengunjung.
Selain itu, bangunan berkenaan turut menempatkan The Seven Stars Hotel yang menyediakan kemudahan penginapan kepada pengunjung.
Tarikan lain ialah bar atas bumbung yang menawarkan pemandangan kawasan sekitar termasuk mercu tanda ikonik Kuala Lumpur, Merdeka 118.
Johari berkata, Chinatown 1974 bukan sekadar pembangunan semula sebuah bangunan, sebaliknya berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelancong serta membuka ruang kepada usahawan dan pembekal tempatan.
“Kita mahu melihat lebih banyak keuntungan daripada kawasan ini, kita mahu perniagaan tempatan berkembang, kita mahu aset yang sedia ada diletakkan dengan sebaiknya.
“Kita mempunyai banyak kawasan lama yang mempunyai cerita, warisan dan identiti tersendiri. Soalnya ialah bagaimana kita memberikan kehidupan baharu kepada kawasan berkenaan tanpa menghilangkan jiwa dan identiti asalnya.
“Pada saya Chinatown 1974 memberikan satu contoh yang baik, kerana jika kita boleh memberikan kehidupan kedua kepada sebuah bangunan, kita mungkin boleh memberikan kehidupan baharu kepada keseluruhan kawasan dan komuniti,” katanya.





