Transaksi ATM bongkar kegiatan ‘keldai akaun’ ah long

TAKTIK sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ah long menggunakan ‘keldai akaun’ terbongkar selepas dua lelaki ditahan dalam Op Vulture oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, kedua-dua suspek warga tempatan itu ditahan dalam operasi berasingan di sekitar Teluk Intan ini.

Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Teluk Intan ketika seorang lelaki sedang melakukan transaksi pengeluaran wang.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui dua keping kad ATM dipercayai milik individu lain serta wang tunai RM300,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal dan maklumat diperoleh, polis kemudian menyerbu sebuah premis pinjaman wang di Jalan Ah Cheong.

Katanya, dalam serbuan itu, seorang lagi lelaki ditahan dan pemeriksaan lanjut menemukan tiga lagi kad ATM serta beberapa barangan kemas disyaki emas yang dipercayai berkait dengan kegiatan berkenaan.

“Keseluruhan rampasan melibatkan wang tunai, lima kad ATM pelbagai bank serta barangan kemas iaitu dua utas rantai tangan dan satu loket dengan nilai dianggarkan RM2,050,” katanya.

Chua Kok Lian berkata, kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan suspek termasuk pemilik akaun bank serta rangkaian lain yang mungkin terbabit.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyerahkan atau meminjamkan akaun bank serta kad ATM kepada mana-mana pihak walaupun ditawarkan imbuhan.

“Pemilik akaun perlu menjaga kad ATM, nombor PIN dan maklumat perbankan daripada didedahkan kepada pihak lain,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here