KERAJAAN berjaya mengurangkan defisit imbangan dagangan sektor agromakanan sebanyak RM5.4 bilion atau 13.8 peratus pada 2025.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pencapaian itu susulan komitmen yang dibuat pada penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 untuk mengurangkan jurang defisit imbangan dagangan negara dalam sektor berkenaan.
“Semasa penganjuran MAHA 2024, kami semua telah berjanji untuk mengurangkan jurang defisit imbangan dagangan negara dalam sektor agromakanan.
“Alhamdulillah, berkat kerja keras kita semua dan sokongan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Kerajaan MADANI telah berjaya mengurangkan defisit imbangan dagangan dalam sektor agromakanan sebanyak 5.4 bilion ringgit atau 13.8 peratus pada tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang hari ini yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohamad dalam pada itu berharap defisit imbangan dagangan sektor agromakanan terus mencatatkan penurunan pada 2026.
Beliau turut memohon Perdana Menteri supaya menambah peruntukan kepada kementeriannya bagi merapatkan jurang antara import dan eksport.
“Sebab kita usah ‘walk the talk’. Kita kata nak merapatkan jurang antara import yang begitu tinggi dengan eksport,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, MAHA 2026 turut mencatatkan pencapaian melebihi beberapa sasaran yang ditetapkan.
Sehingga semalam, lebih 4.3 juta pengunjung direkodkan dan beliau menjangkakan jumlah keseluruhan melebihi lima juta orang berbanding sasaran empat juta pengunjung.
Nilai jualan pula mencecah RM66.88 juta berbanding sasaran RM58 juta, manakala kolaborasi strategik dan jangkaan pelaburan direkodkan kira-kira RM10.3 bilion berbanding sasaran RM8 bilion.





