Kerajaan sedang teliti bantuan kepada pesawah, keperluan pelbagai sektor diambil kira

KERAJAAN sedang meneliti beberapa cadangan bagi membantu pesawah yang terkesan akibat kenaikan kos input pertanian susulan lonjakan harga bahan api global.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuk penggunaan kad armada bagi jentera pertanian serta peningkatan insentif pembajakan dan penuaian padi.

“Cadangan lain seperti peningkatan kadar Insentif Pembajakan dan Penuaian Padi, kuota diesel kepada vesel C2 serta bantuan sekali beri kepada pekebun masih dalam penelitian kerana membabitkan komitmen kewangan yang besar,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau hari ini.

Menurut Mohamad, peningkatan harga bahan api pada peringkat global telah memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran pertanian, termasuk harga baja, racun serta kos perkhidmatan jentera.

Dalam tempoh sebulan katanya, subsidi bahan api meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM6 bilion, sekali gus memberi tekanan besar kepada kedudukan fiskal negara.

Selain itu beliau berkata, kerajaan perlu menyeimbangkan keperluan pelbagai sektor memandangkan bukan sahaja pesawah terkesan, malah kumpulan lain dalam ekonomi turut berdepan tekanan kos yang sama.

Beliau pada masa yang sama menegaskan, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara, termasuk bekalan beras, ayam, telur dan sayuran.

“Antara langkah awal yang telah diluluskan adalah penambahan stok penimbal beras dengan peruntukan melebihi RM100 juta,” katanya.

Mohamad berkata, dalam Belanjawan 2026, subsektor padi dan beras menerima peruntukan sebanyak RM2.62 bilion yang merangkumi subsidi harga padi, subsidi baja serta pelbagai insentif pengeluaran.

Beliau berkata, lebih 50 peratus daripada bajet pengurusan kementerian disalurkan kepada subsektor itu, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan terhadap kebajikan pesawah dan keterjaminan makanan negara.

Bagaimanapun, beliau berkata cabaran utama industri padi bukan hanya melibatkan jumlah bantuan, tetapi juga isu struktur yang memerlukan pembaharuan menyeluruh termasuk penggunaan teknologi moden, pengurusan berskala besar serta kecekapan sistem pengairan dan rantaian bekalan.

“Kita boleh mengkritik, namun biarlah berasaskan fakta dan bukan sentimen,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img