PAMERAN Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 melabuhkan tirai hari ini dengan merekodkan nilai jualan keseluruhan RM66.88 juta dan kerjasama bernilai RM10.35 bilion menerusi 97 memorandum persefahaman (MoU).
Penganjuran selama 10 hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang itu turut merekodkan 4.3 juta pengunjung termasuk 1.72 juta belia dengan kehadiran 854,311 kenderaan sehingga jam 10 malam tadi.
Majlis perasmian penutup MAHA 2026 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.
Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mengangkat tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’, MAHA 2026 menjadi platform utama yang menghimpunkan ekosistem agro dan agromakanan negara, selain mengetengahkan perkembangan teknologi, inovasi serta peluang perniagaan dalam sektor berkenaan.
Penyertaan lebih 2,000 pempamer serta delegasi antarabangsa dari 14 negara mengukuhkan kedudukan MAHA sebagai platform utama sektor agro dan agromakanan di peringkat domestik dan antarabangsa.
Antara tarikan utama MAHA 2026 adalah Laman Padi, Laman Nanas, Laman Sayur, Laman Herba, Laman Jagung dan Bawang, Laman Florikultur, Laman Perikanan, Laman Smart Farming, Laman Veterinar, Pavilion Negeri, Agrosafari, Perkampungan Bang Mat, Rhythm of the Farmers (ROTF) serta Kiddies Wonderland.
Penganjuran kali ini turut memberi penekanan kepada teknologi dan inovasi agro termasuk pertanian pintar, automasi, dron, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) serta teknologi makanan.
Ia juga membuka ruang kepada golongan belia meneroka peluang kerjaya dan keusahawanan dalam sektor agromakanan.
Penyertaan 14 negara pula memperkukuh dimensi antarabangsa MAHA 2026 menerusi peluang pertukaran teknologi, pelaburan, pembangunan kapasiti dan peluasan pasaran eksport produk agromakanan Malaysia.
Kejayaan MAHA 2026 membuktikan sektor agro dan agromakanan negara mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai sektor moden, berdaya saing dan berteraskan teknologi.





