Konon balik kampung, wanita dicekup bersama kekasih di hotel

SEORANG wanita yang memberi alasan mahu pulang ke kampung sempena cuti panjang sebaliknya dicekup berkhalwat bersama kekasihnya dalam sebuah bilik hotel di sebuah daerah di Johor, awal pagi semalam.

Lebih mengejutkan, kedua-duanya yang berusia lingkungan 30-an didapati masing-masing sudah berumah tangga ketika ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Pasangan terbabit ditahan kira-kira jam 2.30 pagi ketika penguat kuasa melakukan pemeriksaan di hotel berkenaan.

JAINJ berkata, pemeriksaan bermula selepas penguat kuasa mengetuk pintu bilik sebelum dibuka seorang lelaki kira-kira enam minit kemudian.

“Lelaki terbabit pada awalnya hanya berdiam diri ketika ditanya sama ada terdapat individu lain bersamanya dalam bilik berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan seorang wanita berada di dalam bilik,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kedua-duanya mengaku bukan suami isteri, sebaliknya hanya berkawan lama sejak zaman persekolahan.

“Hasil pemeriksaan dan soal siasat mendapati lelaki terbabit adalah suami orang dan menetap di daerah berkenaan, manakala wanita itu juga isteri orang yang menetap di Kuala Lumpur.

“Lebih mengejutkan, kedua-duanya mendakwa hubungan rumah tangga masing-masing berada dalam keadaan baik dan tiada masalah,” katanya.

JAINJ berkata, wanita terbabit dipercayai datang ke daerah berkenaan menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada sebelah petang dengan alasan mahu pulang ke kampung sempena cuti panjang.

Bagaimanapun, wanita itu dipercayai memilih untuk mendaftar masuk ke hotel sebelum lelaki terbabit datang menemuinya pada sebelah malam.

“Bilik hotel itu didaftarkan atas nama wanita berkenaan dan pemeriksaan turut menemukan beg pakaiannya di dalam almari.

“Lelaki terbabit pula datang kemudian dengan membawa barangan peribadi,” katanya.

Katanya, pemeriksaan turut mendapati keadaan bilik menunjukkan kedua-duanya sudah berada di situ untuk beberapa ketika.

Pasangan terbabit kemudian dibawa ke pejabat agama untuk tindakan lanjut.

“Suami kepada wanita itu hadir sebagai penjamin, manakala isteri kepada lelaki terbabit turut hadir bagi urusan sama,” katanya.

Pasangan berkenaan akan didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here