DUA lelaki warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang wanita warga Indonesia secara berkumpulan di sebuah hotel di Jalan Imbi, bulan lalu.
Tertuduh, Ali Arshad, 36, dan Habib Ur Rahman, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama merogol mangsa berusia 23 tahun di sebuah hotel di Jalan Imbi, Kuala Lumpur pada 15 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun jika sabit kesalahan.
Peguam S. Vinesh yang mewakili Ali memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya sudah menetap di negara ini selama 18 tahun selain bekerja dalam sektor perladangan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha membantah permohonan itu kerana kesalahan terbabit adalah serius selain wujud risiko kedua-dua tertuduh melarikan diri.
Habib Ur pula tidak diwakili peguam pada prosiding hari ini.
Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh ditahan sehingga kes selesai dan menetapkan 4 Jun depan untuk sebutan semula kes.


