ENAM individu termasuk empat sekeluarga dan dua malim gunung yang dikhuatiri hilang di Gua Musang ketika menyertai ekspedisi dipercayai mungkin lewat keluar dari hutan akibat berdepan laluan sukar.
Seorang malim gunung berusia 34 tahun yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkata, pihaknya tidak menganggap kumpulan terbabit sesat, sebaliknya kemungkinan mengambil masa lebih lama berikutan keadaan trek yang mencabar.
Katanya, kumpulan itu memasuki hutan melalui Pos Dakoh, Lojing, Gua Musang pada 29 Ogos lalu sebelum dijadualkan keluar melalui Pos Kemar, Perak pada 3 September.
“Trek yang mereka lalui dalam ekspedisi laluan penuh membabitkan Gunung Gerah, Bilah dan Bieh yang dikenali sebagai Trans GBB bukanlah laluan komersial dan jarang dimasuki orang, mungkin hanya sekali atau dua kali setahun.
“Laluan ini agak mencabar kerana dipenuhi pokok buluh dan pokok tumbang menyebabkan mereka terpaksa merintis semula trek sehingga melambatkan pergerakan.
“Saya yakin kumpulan terbabit berada dalam keadaan selamat. Tambahan pula dua malim gunung yang menyertai mereka sangat berpengalaman dengan selok-belok laluan terbabit,” katanya ketika dihubungi lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, operasi SAR yang disertainya bersama 12 malim gunung akan melalui laluan darat bermula jam 8 pagi ini.
“Bagi fasa pertama, kami akan masuk melalui Pos Kemar dengan menggunakan laluan Sungai Siput dan mungkin bergerak dalam satu pasukan atau dibahagikan kepada dua kumpulan.
“Kami harap dapat bertembung dengan kumpulan itu yang sepatutnya dalam perjalanan turun, sama ada di pertengahan laluan atau ketika sudah menghampiri kawasan keluar,” katanya.
Menurutnya, pasukan terbabit bersedia berada di dalam hutan selama beberapa hari dengan membawa bekalan makanan mencukupi bergantung kepada situasi di lapangan.
“Peralatan asas termasuk parang dan alat komunikasi seperti walkie-talkie turut dibawa bagi membantu pergerakan serta operasi pencarian,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata komunikasi dijangka menjadi antara cabaran utama kerana tiada liputan telefon dan walkie-talkie di laluan terbabit.
“Jika keadaan mangsa mengizinkan, kami akan berikan bantuan awal dan membawanya keluar namun sekiranya memerlukan bantuan seperti kaedah ‘winching’, perkara itu akan dimaklumkan kepada pihak berkaitan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan enam individu terdiri daripada empat ahli keluarga dan dua malim gunung dikhuatiri hilang selepas memasuki kawasan hutan melalui Pos Dakoh, Lojing, Gua Musang pada 29 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan daripada ahli keluarga kumpulan berkenaan di Selangor selepas mereka gagal keluar dari hutan mengikut jadual pada 3 September.
Menurutnya, semakan bersama Jabatan Perhutanan mendapati hubungan terakhir menunjukkan kumpulan itu sudah berada di kawasan hutan Perak sebelum terputus hubungan.
Kumpulan berkenaan mempunyai permit memasuki hutan dan dijadualkan keluar melalui Pos Kemar, Perak.
Susulan itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menubuhkan pasukan SAR untuk mengesan kumpulan berkenaan dengan bantuan helikopter bermula hari ini.
Nor Hisham berkata, operasi itu turut dibantu kumpulan malim gunung yang sudah berada di lokasi bagi mengenal pasti dan menandakan kawasan yang dipercayai dilalui kumpulan terbabit.





