Empat maut nahas LPT1: Polis tunggu keputusan ujian darah pemandu lori tangki

POLIS masih menunggu keputusan ujian darah pemandu lori tangki simen yang terbabit dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan sehingga mengorbankan empat nyawa di Kilometer 110.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 arah Timur, Lanchang, Temerloh, 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, ujian berkenaan dijalankan bagi mengesan kandungan alkohol dan dadah dalam darah pemandu berusia 52 tahun itu.

“Setakat ini, kami masih menunggu keputusan ujian darah daripada Jabatan Kimia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan siasatan kemalangan berkenaan.

Mohd Nasyim berkata, pemandu lori tangki terbabit masih menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH), Temerloh.

Dalam kejadian 31 Ogos lalu, pemandu lori tangki berkenaan mengalami kecederaan parah dalam kemalangan yang mengorbankan empat individu termasuk tiga beranak. Kejadian itu membabitkan 11 kenderaan.

Tiga mangsa yang maut ialah pasangan suami isteri, Muhammad Nazatul Nazmi, 32, dan Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, empat tahun, yang menaiki Proton S70.

Seorang lagi mangsa maut ialah penumpang Honda CR-V, Seow Beng Wain, 55, dari Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada lori tangki membawa muatan simen yang hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan lain yang ketika itu bergerak perlahan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here