DBKL kompaun premis nasi beriani, pekerja asing tiada permit

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan dua notis kompaun terhadap sebuah premis makanan di Jalan Bendahara, Bukit Bintang, Kuala Lumpur selepas premis berkenaan tular susulan dakwaan dibina di atas tapak letak kereta.

Siasatan DBKL mendapati premis yang menjual nasi beriani itu sebenarnya dimiliki warga Malaysia dan mempunyai lesen perniagaan yang sah.

DBKL dalam kenyataan berkata, bagaimanapun pemeriksaan mendapati premis terbabit menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah.

Menurutnya, pemeriksaan turut mendapati premis berkenaan gagal mempamerkan lesen perniagaan serta mempunyai tambahan struktur di bahagian hadapan tanpa kebenaran DBKL.

“Susulan pelanggaran itu, DBKL mengeluarkan dua notis kompaun mengikut Seksyen 107(5) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil (UUK) 22(1)(b), UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016,” katanya.

Sebelum ini, rakaman video tular memaparkan premis berkenaan yang menjual nasi beriani, selain mempersoalkan pembinaannya di atas tapak letak kereta tanpa pemantauan pihak berkuasa.

Video itu turut mendakwa wujud persoalan sama ada pihak berkuasa memberikan permit khas kepada warga Bangladesh untuk menjalankan perniagaan di premis berkenaan.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan DBKL mengesahkan premis terbabit dimiliki warga Malaysia dan mempunyai lesen perniagaan yang sah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here