UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) diminta menyediakan laporan lengkap berhubung kejadian seorang penuntut meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika acara duathlon dalam program Ketahanan Komander Kesatria (KKEC), Jumaat lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, laporan itu perlu merangkumi punca kejadian serta tindakan susulan yang perlu diambil.
Katanya, berdasarkan laporan awal yang diterima, kejadian berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan suhu dan haba yang keterlaluan ketika latihan.
“Latihan Kesatria adalah program sedia ada yang turut dilaksanakan di universiti lain dan lazimnya membabitkan latihan intensif,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Tajaan Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda kepada Pelajar Terbaik STPM 2025 di kementeriannya, hari ini, lapor Buletin TV3.
Beliau mengulas insiden penuntut UiTM, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, yang meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika menyertai acara duathlon dalam program KKEC, Jumaat lalu.
Dalam kejadian itu, lapan lagi peserta turut mengalami kesukaran bernafas dan mendapatkan rawatan.
Daripada jumlah itu, dua peserta menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, manakala enam lagi dirawat di Hospital Jengka dan dilaporkan stabil.
Media sebelum ini melaporkan, sembilan penuntut terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita mengadu mengalami kesukaran bernafas ketika menyertai program berkenaan di kampus UiTM Jengka, Maran.
Zambry turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penuntut yang meninggal dunia serta peserta yang masih menerima rawatan.
“Kita doakan supaya keadaan mereka kembali pulih dan mereka dapat meneruskan pengajian,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius setiap perkara yang membabitkan keselamatan dan kebajikan pelajar ketika mengikuti program seumpama itu.
Katanya, kementerian mahu mengambil pengajaran daripada kejadian berkenaan bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesan jerebu terhadap institusi pengajian tinggi, Zambry berkata, tiada institusi pengajian tinggi terjejas akibat jerebu setakat ini.
Katanya, bagi situasi jerebu di Sarawak, institusi pendidikan tinggi termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), tiga politeknik dan beberapa kolej komuniti di negeri itu sudah mengambil langkah sewajarnya.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran lebih anjal akan digunakan sekiranya keadaan jerebu menjejaskan kehadiran pelajar ke bilik kuliah.
“Kalau mereka tidak dapat pergi ke bilik kuliah, maka kita buat secara dalam talian,” katanya.




