Ketua Penolong Pengarah RTM dipenjara 6 bulan, didenda RM10,000

KETUA Penolong Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM) didenda RM10,000 dan dipenjara enam bulan selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menerima wang berjumlah RM28,000, tujuh tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman terhadap Suhaila Md Zaini, 47, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman dibenarkan dengan wang jaminan dinaikkan kepada RM10,000 sementara menunggu proses rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Mohd Nasir dalam penghakimannya berkata, pembelaan tertuduh bahawa RM10,000 yang diterimanya adalah pinjaman daripada seorang individu merupakan pembelaan yang difikirkan kemudian (afterthought).

Katanya, pembayaran balik wang berkenaan hanya dilakukan selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan pada Oktober 2019.

Beliau berkata, cara pembayaran wang menggunakan akaun pihak ketiga turut menunjukkan tertuduh cuba menyembunyikan kesalahan berkenaan.

“Pembelaan tertuduh bahawa wang RM18,000 yang diterima telah digunakan bagi perbelanjaan dan pembayaran program-program RTM ditolak.

“Malah, resit-resit dikemukakan oleh tertuduh sebaliknya menyokong kes pihak pendakwaan kerana menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai wang tunai yang banyak untuk membuat bayaran kepada pembekal-pembekal yang terlibat dalam program yang dijalankan oleh RTM.

“Ini secara tidak langsung mengesahkan bahawa tertuduh sememangnya mempunyai wang tunai berjumlah RM18,000 seperti dalam pertuduhan dan kemudiannya menggunakan wang tersebut,” katanya.

Jelasnya, tiada keterangan menunjukkan wang tunai RM18,000 berkenaan dibayar melalui saluran rasmi RTM.

“Sebaliknya, wang tersebut diterima secara peribadi melalui individu yang mengendalikan program RTM menggunakan akaun syarikat produksi RTM,” katanya.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Suhaila yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah di Unit Bicarawara, Seksyen Ehwal Semasa RTM didakwa menerima bayaran RM10,000 daripada sebuah syarikat serta wang tunai RM18,000 daripada seorang individu tanpa balasan yang diketahuinya mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai Penerbit Rancangan di RTM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 17 April hingga 9 Julai 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri, manakala tertuduh diwakili Shahidah Muslimah Roslan daripada Tetuan Hidayah Muslimah & Co.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here