Menteri ASEAN digesa bertindak serius tangani jerebu rentas sempadan – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa menteri-menteri ASEAN mengambil tindakan lebih serius bagi menangani isu jerebu rentas sempadan, selain menambah baik mekanisme sedia ada.

Perdana Menteri memberitahu, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, terutama dengan mengambil kira kesan jerebu terhadap kehidupan dan kesihatan orang ramai.

“Masih ada ruang untuk penambahbaikan. Saya fikir menteri-menteri ASEAN perlu melihat perkara ini dengan serius kerana ia menjejaskan kehidupan, khususnya kanak-kanak dan bayi,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.

Yang turut hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar dalam pada itu berkata, isu pembakaran terbuka di Indonesia perlu diteliti secara menyeluruh, termasuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran yang dikesan sebelum sebarang tindakan atau tuduhan dibuat terhadap pihak tertentu.

Ketika ditanya mengenai dakwaan syarikat Malaysia yang beroperasi di Indonesia mungkin terlibat dalam isu berkenaan, beliau berkata, Malaysia menghormati tindakan pihak berkuasa Indonesia sekiranya terdapat syarikat tempatan yang didapati melakukan kesalahan.

Beliau turut menegaskan, Malaysia tidak akan campur tangan atau melindungi mana-mana syarikat sekiranya siasatan mendapati mereka bertanggungjawab terhadap pembakaran terbuka atau kesalahan lain di negara itu.

“Kalau ada syarikat Malaysia yang terkesan (terlibat), kita beri ruang kepada Indonesia untuk mengambil tindakan.

“Kita tentunya akan menghormati tindakan di sana dan kita tidak akan mempertahankan (mereka),” tegas beliau.

Kualiti udara di Serian, Sarawak hari ini kembali ke tahap bahaya apabila stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kawasan itu merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 302, pagi ini.

Pada Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengisytiharkan darurat jerebu di seluruh bahagian Serian susulan pencemaran udara yang membahayakan kesihatan awam, sebelum pengisytiharan itu ditamatkan semalam.

Sementara itu, menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) pagi ini, tiga kawasan di Sarawak merekodkan status bacaan sangat tidak sihat iaitu Kuching (243), Samarahan (237) dan Sri Aman (232).

Beberapa kawasan lain di negeri itu turut mencatatkan kualiti udara tidak sihat, antaranya Mukah (184), Sarikei (183), Samalaju (178), Bintulu (170), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (169), Miri (169) dan Sibu (166).

Di Selangor, Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi bagi negeri itu dengan IPU 168, diikuti Shah Alam (165), Banting (159), Klang (156), Petaling Jaya (154) dan Kuala Selangor (152).

Turut mencatatkan status tidak sihat ialah Tasek Ipoh (162), Seri Manjung (159), Tanjung Malim (156) dan Pegoh Ipoh (152) di Perak, manakala di ibu negara, bacaan tidak sihat direkodkan di Batu Muda (157) dan Cheras (154), selain Putrajaya (155).

Kawasan lain yang berada pada tahap sama ialah Nilai (157) dan Seremban (153) di Negeri Sembilan; Bukit Rambai (149) serta Alor Gajah (144) di Melaka; Labuan (128); dan Segamat, Johor (106).

Secara keseluruhan, 37 kawasan di seluruh negara dilaporkan berada pada tahap sederhana, manakala dua kawasan mencatatkan bacaan baik.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here