Geng Man Kuda tumpas, 14 kes samun, curi kereta selesai

GENG Man Kuda yang dipercayai terbabit dalam 14 kes samun dan curi kereta di Perak, Kedah serta Pulau Pinang sejak Jun lalu tumpas selepas empat suspek ditahan polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 49 tahun ditahan menerusi serbuan di Taiping, Perak dan Kulim, Kedah pada 30 Ogos lalu.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah.

“Hasil risikan dan siasatan mendapati kumpulan ini terbabit dalam 14 kes jenayah membabitkan sembilan kes di Perak, empat di Kedah dan satu di Pulau Pinang, dengan keseluruhan kerugian dianggarkan RM200,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan dipercayai mencuri kenderaan mangsa yang diletakkan di hadapan rumah menggunakan batang besi yang diubah suai.

“Mereka turut melakukan samun terhadap mangsa yang berada di dalam rumah atau bersendirian,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis merampas enam kereta curi termasuk Proton Wira, Toyota Vios, Honda Accord dan Naza Citra.

Turut dirampas ialah telefon bimbit, pasport, kad pengenalan, lesen memandu serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah seperti sarung tangan, pemutar skru, pisau, ‘master key’ yang diubah suai, T-bar, cangkul, besi pembuka ‘manhole’ dan gergaji.

Mohd Alwi berkata, kejayaan itu membantu polis menyelesaikan sembilan kes curi dan cubaan curi kereta, dua kes samun serta tiga kes curi barang dalam kenderaan.

Katanya, polis masih mengesan tiga lagi suspek lelaki berusia antara 30 hingga 36 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Iskandar Shyam Abu Bakar di talian 019-8635721 atau balai polis berhampiran,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here