KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneruskan perkhidmatan Flying Doctor Service (FDS) atau Perkhidmatan Doktor Udara bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman Sarawak terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkhidmatan itu kekal kritikal kepada penduduk di kawasan pedalaman meskipun berlaku nahas helikopter BO-105 berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak, semalam.
“Kita akan teruskan perkhidmatan ini memandangkan ia merupakan perkhidmatan kritikal kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak.
“Malah, KKM tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan. Semua aspek teknikal dan operasi penerbangan tertakluk kepada piawaian keselamatan yang ketat serta berada di bawah seliaan agensi berkaitan,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang semalam, helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang mengorbankan juruterbang dan empat petugas kesihatan.
Mangsa terdiri daripada juruterbang, Kapten Zainol Afiq; Dr Ainul Baraah Kamaruddin; Penolong Pegawai Perubatan, Alexson Adit; serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.
Mengulas mengenai keputusan sama ada sesebuah helikopter dibenarkan beroperasi, Dr Dzulkefly berkata, ia bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa penerbangan selain mengambil kira faktor keselamatan termasuk keadaan cuaca.
“KKM sendiri tidak memiliki aset helikopter kerana perkhidmatan FDS yang dilaksanakan sejak tahun 1970 menggunakan helikopter yang dikontrakkan daripada syarikat penyedia perkhidmatan,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan helikopter yang digunakan sudah uzur, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya sedang mendapatkan laporan lengkap termasuk rekod penyelenggaraan daripada syarikat yang mengendalikan pesawat berkenaan.
“Kita akan mendapatkan semua sejarah penyelenggaraan helikopter itu. Apa yang penting, kita tidak akan sesekali berkompromi dengan aspek keselamatan,” katanya.





