KKM, MMC siasat sindiket jual sijil cuti sakit palsu

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sedang memantau dan menjalankan siasatan berhubung kegiatan sindiket yang dipercayai terbabit dalam penjualan sijil cuti sakit (MC) palsu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, siasatan berhubung kes berkenaan akan diketuai MMC dengan kerjasama KKM serta agensi penguatkuasaan berkaitan.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius isu tersebut kerana ia bukan sahaja membabitkan integriti amalan perubatan, malah berpotensi menimbulkan isu berkaitan perlindungan data dan keselamatan maklumat.

“Saya yakin MMC akan mengeluarkan penjelasan dan hasil siasatan dalam masa terdekat serta tindakan yang setimpal akan diambil terhadap pihak terbabit.

“MMC akan mengetuai siasatan berkaitan perkara ini dengan kerjasama KKM dan agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

“Kita akan beri perhatian mengenai isu ini kerana ia mungkin boleh membabitkan isu perlindungan data dan keselamatan maklumat,” katanya dalam sidang media Program Cik Era Naik MRT di Stesen Tun Razak Exchange (TRX) di ibu negara hari ini.

Mengulas penahanan lima individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan MC palsu termasuk seorang jururawat, Dr Dzulkefly berkata, KKM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau etika profesional.

Beliau menegaskan sijil cuti sakit hanya boleh dikeluarkan oleh doktor atau pengamal perubatan yang merawat pesakit dan ia adalah sebahagian daripada amalan perubatan yang tertakluk kepada peraturan serta etika profesional.

“KKM akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat pelanggaran undang-undang atau peraturan,” katanya.

Kata beliau, isu berkenaan turut menunjukkan keperluan untuk mempercepatkan penggunaan sistem digital termasuk pelaksanaan e-MC atau sijil cuti sakit digital.

“Saya juga akan meminta Bahagian Kesihatan Digital KKM untuk mengkaji dan meneliti perkara ini dengan segera bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan dokumen perubatan,” katanya.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, pelaksanaan Program Cik Era Naik MRT yang berlangsung hari ini dilihat selari dengan aspirasi KKM yang membawa promosi kesihatan keluar daripada fasiliti kesihatan sekali gus mendekati rakyat dalam kehidupan seharian mereka.

Menurutnya, sejak diperkenalkan pada 15 Mac 2026, Cik Era AI telah mencatat sebanyak 17,412 interaksi dengan pengguna yang mendapatkan maklumat dan sokongan berkaitan perkhidmatan berhenti merokok, dengan purata 258 interaksi sehari.

“Susulan pelaksanaan promosi melalui MRT Laluan Putrajaya bersama rakan-rakan strategik di bawah mQuit Services bermula pada 23 Mei sehingga 5 Jun 2026, purata interaksi harian meningkat kepada 347 interaksi sehari, iaitu peningkatan sebanyak 34 peratus.

“Pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan promosi di ruang awam dalam memperluaskan capaian dan meningkatkan penggunaan perkhidmatan berhenti merokok dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Katanya, program berhenti merokok dan inovasi digital seperti Cik Era AI juga memainkan peranan penting dalam membantu individu yang mengalami ketagihan nikotin mendapatkan maklumat, kaunseling dan sokongan yang berterusan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img