KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menangguhkan projek pembinaan Hospital Maran yang pernah diluluskan dengan kos RM350 juta bagi memberi tumpuan kepada pengukuhan klinik kesihatan sedia ada dan penjagaan kesihatan primer.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas kementerian meneliti kadar penggunaan katil atau bed occupancy rate (BOR) di hospital berhampiran yang didapati masih rendah dan belum mencapai tahap mendesak.
“BOR di Hospital Jengka kini sekitar 57 peratus, manakala Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh mencatat kira-kira 63 peratus, menunjukkan fasiliti sedia ada masih mampu menampung keperluan pesakit.
“Daripada sudut penggunaan, belum sampai ke tahap yang memerlukan untuk kita membangunkan hospital baharu di setiap daerah,” katanya dalam sidang media sempena Lawatan Menteri Kesihatan ke negeri Pahang di Klinik Kesihatan Maran hari ini.
Menurut Dr Dzulkefly, bagi memenuhi keperluan kesihatan penduduk Maran, KKM kini memberi fokus kepada Klinik Kesihatan Maran Type 4, termasuk memperkasa perkhidmatan kecemasan, katil pesakit serta Emergency Birthing Centre (EBC).
Menurutnya, walaupun jumlah kelahiran di kawasan itu rendah, perkhidmatan EBC tetap penting demi akses rawatan segera tanpa perlu ke hospital jauh.
“Paradigma kita adalah memperkukuh primary healthcare melalui klinik kesihatan sebagai tunjang penjagaan kesihatan sebelum pesakit memerlukan rawatan hospital,” katanya.
Untuk rekod, cadangan awal pembinaan projek Hospital Maran diluluskan beberapa tahun lalu, dengan tapak awal yang difokuskan di laluan Batu 55, Jalan Maran–Jengka di Mukim Luit.


