UMNO hari ini kesal dengan kenyataan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) yang seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong apabila menegaskan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman ditetapkan.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr.Aysraf Wajdi Dusuki berkata, kuasa pengampunan adalah hak prerogatif Baginda yang termaktub jelas di dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, serta tidak sewajarnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
‘’Jika PH boleh menyokong pengampunan yang diterima oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau belum selesai menjalani hukuman penuh ketika itu, kenapa pula piawaian yang berbeza perlu dikenakan kepada pihak lain?,’’ kata Aysraf Wajdi dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan Asyraf Wadji itu sebagai tindak balas kepada kenyataan Majlis Setiausaha PH malam tadi yang menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang juga menuntut supaya proses kehakiman yang sedang berjalan pula diberikan ruang untuk diselesaikan secara teratur dan bebas tanpa menimbulkan sebarang persepsi bahawa proses tersebut telah didahului oleh pertimbangan lain.
Mengulas lanjut, beliau berkata, berbeza dengan PH, UMNO tidak berhasrat mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau menuntut apa-apa keputusan tertentu.
‘’Apa jua keputusan yang dibuat melalui proses yang sah hendaklah dihormati oleh semua pihak. Tindakan terkini (PH) ini secara tidak langsung menyerlahkan ‘warna sebenar’ PH yang sudah beberapa kali meremeh dan mempertikai Institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik mereka
‘’Ini jelas bertentangan dengan prinsip dan syarat yang telah disepakati bersama dalam perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia,’’ katanya.
Beliau menegaskan, UMNO kekal teguh mendukung institusi Yang di-Pertuan Agong serta kuasa-kuasa Baginda.
‘’Sebarang usaha bagi menekan atau menanam prasangka buruk secara langsung atau tidak langsung terhadap institusi ini adalah satu bentuk pengkhianatan kepada Perlembagaan dan negara,’’ katanya.
Pelbagai pihak menyifatkan kenyataan PH itu ada kaitan dengan berita Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) dijangka membincangkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam mesyuarat minggu ini,
Menurut laporan FMT, sumber memberitahu permohonan Najib dijangka antara perkara akan dibangkitkan dalam mesyuarat itu.
Bagaimanapun, belum jelas sama ada mesyuarat itu akan membuat keputusan atau sekadar membincangkan permohonan tersebut.





