PENGARAH Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd, Datuk Azmi Ahmad akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, Azmi akan dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 14 di hadapan Hakim Suzana Hussin pada jam 9 pagi, lapor Bernama.
Pada 17 Ogos lalu, Alam Maritim Resources Bhd menerusi makluman kepada Bursa Malaysia mengumumkan Azmi direman bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada 15 Ogos lepas, media melaporkan SPRM menahan tujuh individu terdiri daripada seorang CEO, seorang pengarah syarikat, seorang bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membantu siasatan berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Menurut sumber, seorang CEO syarikat perkapalan bergelar Datuk berusia lingkungan 60-an ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu ketika membuat bayaran kepada TH, membabitkan pemalsuan dokumen kontrak sebuah syarikat petroleum untuk kepentingan syarikat miliknya.





