GABUNGAN Pas dan UMNO melalui strategi Penyatuan Ummah jika berjaya, bakal mencipta kuasa besar baharu Melayu Islam yang lebih kukuh dan stabil dalam Dewan Rakyat pasca PRU-16 akan datang.
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, penyatuan ummah bukan objektif ia adalah strategi.
‘’Objektif kepada strategi ini adalah membangunkan negara ini dan mewariskan negara ini kepada generasi akan datang sebagai negara yang makmur dan bersih daripada pemimpin-pemimpin politik yang korup dan tidak bermaruah,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pas dan UMNO akan terus memacu pembangunan negara anpa perlu meruntuhkan sendi utama Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara tanah air kita.
‘’Sekiranya penyatuan ummah ini berjaya diterjemahkan dalam PRN Melaka dan Selangor, insya-Allah PH akan berputih mata di dua negeri ini. Negeri Selangor yang dikatakan sebagai kubu kuat PH bakal bertukar menjadi kubur kepada perjalanan dan masa depan politik mereka,’’ katanya.
PAS sebagai parti tunjang yang mempunyai ahli parlimen paling ramai di Dewan Rakyat hari ini bukan sahaja didukung oleh aktivis rakyat dan kumpulan ulamak tetapi turut juga didukung oleh teknokrat, ahli akademik, usahawan-usahawan gergasi dan penjawat awam yang lebih selesa dan tenteram dengan perjuangan serta mekanisme reformasi yang dibawa oleh PAS.
Muhammad Faizzuddin berkata, Pas mempunyai kelebihan yang tersendiri dan UMNO juga mempunyai keistimewaannya tersendiri termasuklah berpengalaman mentadbir dan membangunkan negara ini di Putrajaya.
Katanya, naratif penyatuan ummah yang telah diledakkan oleh Pas dalam Muktamar Tahunan Pas kali Ke-72 di Kelantan bakal digemakan dan diperhebatkan lagi dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di PWTC.
‘’Pada saat pimpinan PH masih gagal mencerap idealisme perjuangan Islam dan epistemologi Pas, Pas melalui Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden telah membawa perjuangan Ppenyatuan ummah melangkah jauh ke hadapan sehingga 2051 melalui Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051.
‘’2051 dipilih kerana bersempena dengan genapnya 100 tahun penubuhan Pas dalam mengharungi sepak terajang, mehnah dan tribulasi wadah demokrasi di negara kita Malaysia,’’ katanya.
Beliau menegaskan, WINS 2051 mencakupi aspek Integriti, Keadilan Sosial, Kestabilan, Kemakmuran Ekonomi, Pengagihan Kekayaan, Penciptaan Nilai Ekonomi, Pendidikan, Kesihatan, Kebajikan, Keharmonian Masyarakat Majmuk serta Dasar Luar yang Berdaulat dan Bermaruah.
‘’Pada masa yang sama setiap negeri yang ditadbir oleh PAS telah membangunkan pelan jangka masa panjang dan sederhana bagi menjayakan agenda WINS 2051, sebagai contoh Kelantan Future State (KFS) 2033, The Greater Kedah (TGK) 2050, dan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030,’’ katanya.





