Kerjasama politik tak boleh jadi talian hayat kelangsungan UMNO – Hisommudin

UMNO perlu kembali berdiri atas kekuatan sendiri sebagaimana ketika parti itu menjadi wadah utama politik Melayu sebelum kehilangan dominasi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)

Sehubungan itu  Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa pemulihan UMNO tidak boleh terus bergantung pada kekuatan atau ihsan parti lain.

‘’Kerjasama politik mungkin diperlukan untuk memenuhi tuntutan semasa, tetapi kerjasama tersebut tidak seharusnya menjadi talian hayat yang menentukan kelangsungan UMNO,’’ katanya kepada utusanmelayuplus ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Mohamad malam tadi pada perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang menegaskan hayat UMNO tidak boleh menyandarkan  kepada perhitungan dan kekuatan parti lain, sebaliknya   UMNO mesti berdikari.

Kata Mohamad, parti itu harus membangunkan kekuatannya dengan cara dan strategi sendiri.

‘’Jika kita bergantung kekuatan kepada orang lain, matlamat jangka pendek mungkin tercapai. Tetapi kerugian dalam waktu panjang itu, akan lebih memudaratkan UMNO. Pergantungan kepada orang lain, adalah formula politik yang tempang. UMNO punya harga diri dan maruah yang tiada timbal balasnya,’’ tegasnya.

Hisommudin Bakar

Mengulas lanjut Hisommudin berkata, gesaan Mohamad juga menggambarkan cabaran sebenar yang bakal dihadapi UMNO dalam sebarang rundingan pembahagian kerusi, khususnya jika kerjasama dengan Perikatan Nasional kembali diteroka.

‘’PN kini menguasai sebahagian besar kerusi majoriti Melayu dan mempunyai kedudukan lebih kukuh untuk mempertahankan kawasan yang dimenanginya.

‘’Tanpa bukti empirikal bahawa sokongan terhadap UMNO telah benar-benar pulih, parti itu akan memasuki meja rundingan dari kedudukan yang lemah dan sukar menuntut pembahagian kerusi yang seimbang,’’ katanya.

Beliau berkata, pergantungan berlebihan kepada rakan politik turut membawa kesan jangka panjang terhadap pembinaan organisasi UMNO.

‘’Di kawasan yang tidak ditandingi, jentera parti berisiko menjadi semakin lemah, kehilangan fungsi dan gagal melahirkan kepimpinan pelapis,’’ katanya.

Hisommudin menegaskan, keadaan ini amat membimbangkan di negeri-negeri SG4, iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta bahagian yang tewas di kerusi Parlimen dan DUN kerana UMNO memerlukan kehadiran politik yang konsisten untuk membina semula pengaruhnya.

‘’Sebuah parti tidak boleh dipulihkan hanya melalui perundingan di peringkat atasan sebaliknya kekuatannya mesti dibina dari bawah melalui organisasi, kepimpinan setempat dan hubungan langsung dengan rakyat,’’ katanya.

Justeru, kata beliau  UMNO perlu memberikan tumpuan kepada dua kelompok pengundi Melayu yang telah menjauh.

‘’Pertama, penyokong tradisi yang merajuk, marah atau menghukum parti melalui peti undi semasa PRU15 lalu. Kedua, pengundi muda Melayu yang memilih PN ketika gelombang politik Melayu-Islam berkembang pesat melalui media sosial, khususnya TikTok,’’ katanya.

Tegas beliau, kedua-dua kelompok ini tidak boleh diraih kembali hanya dengan nostalgia terhadap jasa lama UMNO, sebaliknya memerlukan pembaharuan kepimpinan, naratif yang segar, dasar yang relevan serta keberanian menangani persoalan integriti dan keyakinan terhadap parti.

‘’Pada akhirnya, maksud kebingkasan yang ditekankan oleh Tok Mat ialah keupayaan UMNO membuktikan bahawa parti itu masih mempunyai daya hidup, ketahanan organisasi dan tarikan politiknya sendiri,’’ katanya.

Menurut Hisommudin, sekiranya “Gelombang Biru” mahu diterjemahkan sebagai kebangkitan sebenar, ia mesti dapat dilihat melalui peningkatan sokongan yang besar, meluas dan boleh diukur, bukan sekadar melalui semangat dalam kalangan ahli atau kekuatan mobilisasi program parti.

‘’Apabila UMNO kembali memiliki sokongan rakyat yang nyata, barulah parti itu mampu berunding dengan sesiapa pun atas dasar kesetaraan, maruah dan kekuatan, bukannya kerana kebergantungan,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here