MCMC kemukakan lebih sejuta permintaan turunkan kandungan – Fahmi

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengemukakan lebih sejuta permintaan menurunkan kandungan kepada platform-platform dalam talian bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Ogos lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, hampir 91 peratus daripada keseluruhan permintaan penurunan itu melibatkan kandungan berkaitan penipuan serta perjudian dalam talian haram.

Beliau berkata, kadar pematuhan platform turut mencapai hampir 93 peratus namun masih terdapat lebih 65,000 kandungan yang belum diturunkan.

“Kita telah memanggil platform terlibat pada Isnin lalu dan saya belum diberi taklimat hasil daripada pertemuan itu.

“Pendirian Malaysia tegas bahawa kita tidak akan berganjak. Platform perlu lebih proaktif bukan sekadar menurunkan kandungan, malah membendung aktiviti haram seperti penjualan dadah dan judi yang berselindung di sebalik akaun palsu,” tegasnya.

Fahmi berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada Persidangan M360 ASEAN di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, taktik pihak tertentu yang menggunakan istilah atau kaedah lain bagi menyembunyikan aktiviti penjualan barangan terlarang menjadi antara cabaran utama dalam menangani kemudaratan dalam talian.

“Mereka tidak menggunakan nama saintifik seperti jenis dadah fentanylsebaliknya guna perkataan tertentu. Saya tidak boleh menyatakan di sini nama tertentu itu sebab nanti platform akan melesapkan perkataan itu.

“Setiap hari saya akan membuat semakan sama ada platform masih membolehkan barangan terlarang ini dijual dalam platform mereka atau atau tidak,” katanya.

Fahmi menegaskan, kementerian akan terus mempergiat pemantauan bagi memastikan barangan terlarang termasuk dadah, tidak dijual menerusi platform-platform dalam talian.

Dalam ucapan itu juga, beliau memaklumkan  sebanyak 117 tangkapan dibuat menerusi empat operasi besar-besaran di Malaysia yang menyasarkan pemilikan dan pengedaran bahan penderaan seksual kanak-kanak sejak Disember 2024.

Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan di 162 lokasi dengan lebih 1.47 juta fail digital dilucut hak, termasuk lebih 200,000 fail yang disahkan sebagai bahan penderaan seksual kanak-kanak.

Fahmi memberitahu, kerajaan kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mewujudkan persekitaran dalam talian lebih selamat.

Katanya, keperluan terhadap tindakan lebih tersusun itu semakin mendesak, terutama bagi melindungi kanak-kanak yang terdedah kepada pelbagai risiko di dalam talian.

“Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC), dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) menterjemahkan komitmen ini kepada tindakan dengan menetapkan tanggungjawab yang jelas bagi platform digital.

“Ini termasuk memastikan keselamatan kanak-kanak diberi keutamaan dalam reka bentuk platform, pengesahan umur, penilaian risiko secara proaktif, selain memperkukuh tadbir urus kandungan serta menyediakan mekanisme pelaporan dan tindakan balas yang lebih berkesan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here