Harga bahan api: Sedia hadapi kenaikan, jangan bila turun diam, bila naik ‘meroyan’

SEMALAM Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik sebanyak 25 sen seliter bagi tempoh 10 hingga 16 Sept 2026.

Berikutan itu RON97 ditetapkan pada RM4.50 seliter berbanding RM4.25 seliter sebelum ini manakala RON95 naik kepada RM4.02 berbanding RM3.77 seliter dan diesel tanpa subsidi kepada RM4.92 daripada RM4.67 seliter.

Kenaikan ini bukannya  dilakukan oleh kerajaan secara suka-suka tetapi terpaksa dibuat berikutan harga mentah dunia meningkat ketara sepanjang tempoh pengiraan harga Mekanisme Harga Automatik (APM) susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang kembali meruncing serta peningkatan risiko gangguan bekalan petroleum melalui Selat Hormuz.

Kenaikan diumumkan itu tidak melibatkan petrol dan diesel bersubsidi apabila menerusi BUDI95 penerima yang layak terus membayar RM1.99 seliter bagi RON95, dengan kerajaan menanggung subsidi RM2.03 seliter atau 50 peratus daripada harga tanpa subsidi RM4.02.

Bagi BUDI Diesel pula, penerima membayar RM2.10 seliter dengan subsidi kerajaan sebanyak RM2.82 seliter atau 57 peratus daripada harga tanpa subsidi RM4.92.

Sementara itu, harga petrol di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Tetapi bagaimana kalau minggu depan harga petrol dan diesel bersubsidi pun terpaksa dinaikkan berikutan konflik yang tidak berkesudahan di Asia Barat? Adakah orang ramai akan berlapang dada sepertimana mereka menerima kenaikan untuk petrol dan diesel tidak bersubsidi minggu ini?

Kalaulah minggu ini mereka faham kenapa kenaikan itu terpaksa dilakukan, jangan pula minggu depan bila kenaikan melibatkan petrol dan diesel bersubsidi terus ‘meroyan’.

Dalam kenyataan  setiap minggu, MoF pasti  menegaskan Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.

Tetapi rakyat jangan menganggap  harga sedia ada untuk petrol dan diesel bersubsidi akan  kekal dulu, kini dan selamanya. Jika konflik Asia Barat berterusan sehingga mengganggu bekalan bahan api dunia, sudah tentulah kerajaan terpaksa melakukan pengubahsuaian terhadap harga sedia ada.

“Selepas 193 hari konflik di Asia Barat, aliran petroleum melalui Selat Hormuz dan kapasiti penapisan global masih belum kembali normal. Sekiranya keadaan ini berpanjangan, inventori yang semakin menyusut serta bekalan produk petroleum bertapis yang semakin ketat boleh meningkatkan premium risiko terhadap harga petrol dan diesel dunia,” menurut MOF.

Oleh itu sementara rakyat perlu bersyukur berikutan harga untuk BUDI MADANI masih kekal, mereka juga perlu bersedia menghadapi kenaikan harga bahan api.

Semua  adalah di luar kawalan kerajaan negara ini. Apa yang kerajaan boleh buat ialah mengurangkan impak seminimum mungkin ke atas rakyat. Ini termasuklah menyediakan peruntukan berpuluh bilion ringgit bagi membolehkan subsidi diberikan.

Bagaimanapun rakyat harus faham bahawa harga subsidi bahan api bukannya satu harga yang tidak boleh diubah atau bak kata orang ‘simpul mati’. Sampai masanya ia akan dinaikkan dan mungkin apabila keadaan sudah aman, subsidi itu akan dihentikan.

Justeru sebahagian rakyat kita perlu belajar bersyukur kerana ada BUDI MADANI, berterima kasih kerana ada kuota 300 liter dan  perlu bersedia untuk segala kemungkinan pada hari-hari mendatang. Janganlah bila harga turun kita diam (terima kasih pun tak ada), bila harga naik kita menjerit bagaikan ‘pontianak tak dapat jejak tanah’…janganlah kufur nikmat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here