Kes pelajar perempuan Tingkatan 3 maut ditikam oleh seorang pelajar lelaki Tingkat 1 di di sebuah sekolah di Petaling Jaya, Selasa lalu telah meninggalkan kesan trauma kepada pelajar lain di sekolah berkenaan, terutamanya mereka yang menyaksikan kejadian tersebut.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata insiden berkenaan menyebabkan kehadiran pelajar ke sekolah itu menurun.
“Bagi mengembalikan keyakinan ibu bapa, guru, dan anak-anak terhadap tahap keselamatan di sekolah serta memulihkan kesan trauma, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa, guru, dan pelajar bagi memperingati pelajar yang kehilangan nyawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Ibu kepada pelajar perempuan, Yap Shing Xuen, 16, yang maut ditikam di tersebut mendedahkan anaknya ditikam sebanyak 200 kali.
Ibu mangsa, Wong Lee Ping mendedahkan perkara itu berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan pihak patalogi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang diterimanya.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, beberapa langkah pantas turut diambil seperti pendaftaran keluar masuk pelajar di sekolah, penggunaan pengesan logam, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), sistem notifikasi pintar merangkumi ibu bapa dan guru sekolah.
Katanya, proses itu akan melibatkan perbincangan bersama dengan ibu bapa, sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia, serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan.
Beliau berkata insiden ngeri sebegitu tidak boleh ada sebarang ruang untuk diulang sama sekali dan sekolah harus kembali menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak.
Sementara itu beliau memaklumkan seramai 12,500 pelajar di empat daerah di Selangor akan menerima suntikan vaksin Influenza A secara percuma daripada Kerajaan Negeri.
Amirudin memberitahu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program itu Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling.
Beliau berkata keempat-empat daerah itu dikenal pasti mengalami penularan penyakit tersebut yang memberikan risiko kepada kesihatan pelajar.
‘’Keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini, yang turut memutuskan beberapa tindakan lain melibatkan kes bunuh pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya serta kejadian ribut yang melanda Telok Panglima Garang di Banting, dua hari lepas.
“Suntikan vaksin Influenza A secara percuma ini akan bermula pada minggu hadapan, dan pelaksanaannya akan diketuai oleh Exco Kesihatan Awam negeri Jamaliah Jamaluddin,” katanya.



