BAHAGIAN Penyiasatan Tatakelola (BPT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membentangkan lapan syor penambahbaikan terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Penyiasatan tatakelola oleh BPT SPRM memberi tumpuan terhadap pengurusan pemberian kontrak sewaan lot kedai, gerai, dan kiosk oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di peringkat JPN Negeri serta Wilayah Persekutuan.
SPRM dalam kenyataan berkata, syor penambahbaikan tatakelola yang dicadangkan meliputi keperluan mengeluarkan dan menambahbaik mekanisme, sistem dan prosedur berhubung permohonan bertulis kepada pengurus bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Kesemua syor telah dibentangkan oleh Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola Perolehan BPT SPRM, Teh Chong Earn di Kamar Sidang Terbilang, Ibu Pejabat JPN, di Putrajaya, hari ini.
‘’Ia berkaitan penyewaan ruang pejabat kepada pihak ketiga, permohonan kebenaran pengubahsuaian, penyediaan perjanjian bertulis yang sah bagi penyewaan ruang pejabat JPN kepada pihak luar dan pelaksanaan proses tapisan keselamatan terhadap latar belakang pekerja swasta di kiosk pejabat JPN,’’ kata SPRM.

Selain itu, kata kenyataan itu, BPT SPRM turut mencadangkan penetapan nilai penyewaan ruangan di bawah JPN Negeri kepada pihak luar dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta serta pembidaan yang telus dan terbuka melalui Kelab Majlis Kebajikan, Kebudayaan dan Riadah Kebangsaan JPN KL (MADAH) dalam pemilihan penyewa.
‘’Ia merangkumi pemantauan dan penetapan harga produk serta perkhidmatan yang berpatutan bagi menjaga imej JPN dan memastikan urusan perniagaan dilaksanakan mengikut amalan yang wajar tanpa menjejaskan operasi harian pejabat JPN Negeri dan Ibu Pejabat JPN,’’ kata kenyataan berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JPN, Muhamad Ghazali Mamat@Mansor menyambut baik lapan syor berkenaan dalam usaha memastikan amalan tadbir urus adalah lebih telus, bertanggungjawab dan seragam.
Dalam sesi itu, beliau menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola bersama Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Norazlina Abd Rahim.





