KERAJAAN Persekutuan akan menyalurkan baki RM900 juta daripada Pemberian Khas Interim RM1.5 bilion kepada Sabah tahun ini, dengan pembayaran dijangka diselesaikan pada akhir Oktober atau awal November.
Komitmen itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memohon supaya penyelesaian pembayaran hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh daripada Sabah diberi pertimbangan sewajarnya dan dipercepatkan.
“Saya sudah bersetuju supaya bayaran interim itu dinaikkan segera kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini. Rundingan akan diteruskan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian asal.
“Kita akan menunggu sidang Parlimen pada Oktober untuk menetapkan kertas berkaitan sebelum pembayaran keseluruhan RM1.5 bilion itu diselesaikan tahun ini, mungkin pada akhir Oktober atau awal November,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu hari ini, lapor Buletin TV3.
Selain Hajiji, yang turut hadir dalam sidang media itu Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Pada sidang media sama, Hajiji berkata, kerajaan negeri membangkitkan perkara berkenaan dalam mesyuarat itu bagi memastikan tuntutan hak 40 peratus Sabah diselesaikan segera.
“Kerajaan Sabah turut memohon pertimbangan, terutama bagi menyelesaikan pembayaran hak 40 peratus kepada Sabah. Kami berharap perkara ini mendapat pertimbangan sewajarnya serta dapat diselesaikan dan disegerakan,” katanya.
Anwar menjelaskan bahawa jumlah RM1.5 bilion itu ialah bayaran interim dan bukan penyelesaian muktamad tuntutan berkenaan, manakala penetapan formula serta jumlah akhir akan diputuskan menerusi rundingan lanjut.
Bagi Sarawak, beliau berkata, walaupun negeri itu tidak terbabit dalam ketetapan perlembagaan yang sama seperti Sabah, semangat serupa perlu diberikan perhatian dalam menentukan pemberian khas kepada negeri berkenaan.
Katanya, Sarawak sudah mengemukakan cadangan supaya satu formula jelas diperkenalkan dengan mengambil kira kedudukan dan kemampuan kewangan negara, termasuk menetapkan kadar minimum serta maksimum yang boleh dipertimbangkan.
Anwar berkata, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kewangan Sarawak sudah diarahkan membincangkan formula berkenaan, selain berharap langkah interim untuk Sarawak dapat diumumkan sempena sambutan Hari Malaysia di Kuching pada 16 September ini.
“Walaupun Sarawak tidak tertakluk kepada ketetapan Perlembagaan yang sama seperti Sabah, semangat serupa perlu dipertimbangkan.
“Saya berharap langkah interim dapat diumumkan pada Hari Malaysia di Kuching, manakala formula pemberian khas akan dibincangkan bersama dengan mengambil kira kemampuan kewangan negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan MA63 perlu dijadikan dasar, komitmen dan naratif nasional, bukannya dianggap sebagai isu sektoral atau layanan istimewa kepada Sabah dan Sarawak.
Untuk rekod, Sabah sudah menerima RM600 juta pada 12 Jun lalu dan masih menunggu baki RM900 juta daripada keseluruhan Pemberian Khas Interim RM1.5 bilion.





