DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan sumbangan khas Persekutuan sebanyak RM1,500 kepada setiap 111 ketua isi rumah (KIR) yang terkesan akibat kebakaran di Kampung Numbak, Kota Kinabalu pada 30 Ogos lalu.
Sumbangan itu disampaikan ketika Perdana Menteri mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Damai, Kota Kinabalu bagi meninjau keadaan mangsa ditempatkan di pusat itu.
Selain bantuan khas kewangan daripada Persekutuan, setiap KIR turut menerima bantuan RM1,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan RM500 daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
Anwar turut menyerahkan bakul makanan daripada NADMA kepada mangsa sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat kejadian terbabit
Lawatan itu memberi peluang Perdana Menteri bertemu dan menyantuni mangsa kebakaran, selain mendengar keperluan serta keadaan mereka sepanjang berada di PPS.
Penyerahan bantuan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan memastikan kebajikan mangsa bencana terus diberi perhatian, khususnya dalam tempoh pemulihan selepas kejadian.
Sesi lawatan itu dilakukan sebelum Anwar bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Dalam kejadian pada jam 1.40 pagi 30 Ogos lalu, 202 rumah musnah terbakar dan tiga kanak-kanak maut iaitu Mohd Asrul Abdullah, 6; Nana Abdullah, 4; dan Nur Farah Bilah Mohd Tajah, 8.
Kebakaran itu membabitkan kawasan rumah setinggan atas air merangkumi Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama, dengan kawasan terjejas dianggarkan seluas 260 meter x 380 meter.





