Tawaran kerja ‘like’ iklan, main game jadi jerat scam

TAWARAN kerja mudah dengan hanya ‘like’ iklan dan bermain permainan menjadi jerat sindiket penipuan dalam talian yang didalangi warga China dan dipercayai beroperasi sejak bulan lalu.

Bagaimanapun, sindiket itu tumpas selepas polis menyerbu dua premis berasingan di Melaka Raya, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Azrul Mohamed berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Menurutnya, tiga lelaki warga China berusia antara 29 hingga 37 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek dipercayai menjalankan kegiatan penipuan tawaran pekerjaan dalam talian tidak wujud yang menyasarkan warga China.

“Suspek yang ditahan berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan untuk mencari mangsa menerusi TikTok.

“Mangsa ditawarkan pekerjaan dalam talian dengan tugasan ‘like’ pada iklan dan bermain permainan ‘Aether Swap’ menerusi TikTok sebelum dijanjikan komisen atau keuntungan,” katanya ketika sidang media di IPD Melaka Tengah, Batu Berendam, hari ini, lapor BH.

Beliau berkata, selepas mangsa berminat, komunikasi akan diambil alih individu lain dalam rangkaian sindiket sama bagi meneruskan proses memperdaya mangsa sehingga mereka melakukan transaksi kewangan.

“Kesemua suspek dipercayai menerima gaji kira-kira RM3,000 sebulan yang dibayar menerusi WeChat Wallet,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah komputer riba, 23 telefon bimbit pelbagai jenama, satu set router WiFi, dua buku nota dan dua rak kayu dalam serbuan itu.

Azrul berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 14 September untuk siasatan lanjut.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan tawaran pekerjaan yang menjanjikan komisen atau keuntungan tinggi dalam tempoh singkat dengan hanya melakukan tugasan mudah,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here