SEORANG lelaki ditahan polis selepas melarikan 70 keping emas tulen bernilai RM150,000 di sebuah inap desa di Taman Seri Andalas di Klang pada malam Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, suspek berpura-pura berunding untuk membeli 70 keping emas tulen daripada seorang penghantar barang kemas berusia 28 tahun.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, suspek yang berusia 57 tahun ditahan keesokan harinya di sebuah hotel di Brickfields, Kuala Lumpur.
Menurut beliau, mangsa mendakwa suspek berpura-pura mengajaknya ke inap desa berkenaan kononnya untuk urusan jual beli emas.
“Apabila mangsa menyerahkan 70 keping emas kepada suspek untuk diteliti, suspek masuk ke dalam bilik inap desa itu dan melarikan diri melalui pintu belakang.
“Semasa tangkapan, polis merampas kembali semua emas dilarikan itu,” katanya.
Jit Huey berkata, suspek mempunyai tujuh rekod lampau jenayah direman empat hari mulai semalam hingga 13 September ini.
Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan.





