Polis jamin siasatan telus, profesional babit kematian anjing dalam operasi MBDK

POLIS memberi jaminan penuh siasatan insiden kematian anjing ketika operasi Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) baru-baru ini akan dijalankan secara adil, telus dan profesional.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, pihaknya sudah pun membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan berkaitan kes yang dibangkitkan.

“Proses siasatan kini giat dijalankan bagi melengkapkan kesemua bukti serta keterangan berkaitan.

“Kertas siasatan akan dirujuk dan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat untuk arahan dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MBDK hari ini memaklumkan, tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi tangkapan anjing liar yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan itu yang menyebabkan kematian seekor anjing di Taman Teluk Gedung Indah, Klang minggu lalu.

Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain dilaporkan berkata, sebaliknya apa yang berlaku adalah perebutan daripada individu yang mengaku sebagai pemilik anjing berkenaan sehingga mengganggu operasi tangkapan itu.

Menurut Abd Hamid, kaedah tangkapan digunakan pihaknya adalah mengikut SOP ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Media sebelum ini melaporkan, operasi penangkapan anjing liar oleh MBDK bertukar kecoh apabila seorang individu didakwa bertindak agresif dengan mengugut menggunakan pisau serta menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas.

Jit Huey dalam pada itu turut mengesahkan berlaku satu perhimpunan membabitkan sekumpulan orang ramai di hadapan bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira jam 10.15 malam tadi.

Beliau berkata, hasil pemantauan polis mendapati, perhimpunan diadakan untuk membuat desakan secara aman di bawah tema ‘Justice for Rocky’.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak berkumpul di premis atau bangunan kerajaan yang boleh mengganggu kelancaran operasi harian perkhidmatan awam serta menimbulkan gangguan kepada arus lalu lintas di kawasan sekitar.

“Semua pihak juga diminta bertenang dan memberi ruang sepenuhnya kepada proses perundangan yang sedang berjalan serta dinasihatkan untuk tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kelancaran siasatan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img