MAYAT seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian di tebing Sungai Langat berhampiran Seksyen 5, Bandar Baru Bangi di Kajang petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 6 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati mayat lelaki itu berada di tebing sungai sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu mengangkatnya.
“Pemeriksaan awal Unit Forensik mendapati tiada kesan kecederaan jelas pada fizikal mangsa yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.
“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat, namun punca kematian masih belum dikenal pasti sementara menunggu keputusan analisis makmal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu siasatan.
Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sutri Patang di talian 018-942 7088.
Rakaman mengenai penemuan mayat berkenaan tular dalami media sosial.





