TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mencadangkan Pas membubarkan mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditadbir oleh Pas bagi mengukurkan keikhlasan dalam soal persefaham dan kerjasama antara kedua-dua parti.
Katanya, selepas pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Pas boleh dicadangkan untuk membubarkan mana-mana DUN di negeri yang ditadbirnya bagi membolehkan satu lagi PRN berlangsung.
“Lepas Melaka esok, kita cuba pula sejauh mana keikhlasan kawan kita. Kita minta salah satu daripada negeri SG4 (Kelantan,Terengganu,Kedah dan Perlis) tersebut buat pilihan raya. Kau buat pilihan raya, aku nak tengok apa formula kau pakai, kan? (Misalnya) Buat di Terengganu, macam mana? Tunjuklah kalau ikhlas sama-sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Kuala Lumpur hari ini.
Memetik satu daripada dialog filem komedi Allahyarham P Ramlee, Mohamad menambah, di pihak Umno-BN, mereka sudah pun membuktikan keikhlasan untu bekerjasama dengan PAS di Johor dan Negeri Sembilan.
“Kalau nak ikut cerita P. Ramlee, (ikut formula) ‘satu untuk kau, satu untuk aku’, itu kita dah buat,” katanya.
Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, di Negeri Sembilan , terbukti kerjasama yang dibuat UMNO dan Pas menyaksikan tiada masalah timbul apabila mereka berjaya menjadi kerajaan negeri dengan majoriti kukuh apabila melepasi tahap dua per tiga.
“Tapi kita nak test (uji) kejujuran. Kita nak tengok sejauh mana. Jangan kita saja terhegeh-hegeh ya. Jangan kita sahaja hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Kalau betul-betul ikhlas di atas nama penyatuan ummah Melayu, maka kita lihat macam mana formula yang nak diguna pakai,” katanya.
Mohamad berkata, daripada PRN itu nanti bolehlah dilihat formula bagaimana sebenarnya yang boleh menyatupadukan orang Melayu bagi menghadapi PRU ke-16.
Mohamad turut menegaskan tiada parti lain yang gembira jika UMNO bangkit semula seperti suatu ketika dulu, sebaliknya menyifatkan mereka ingin melihat UMNO dibenamkan atau ditalkinkan.
Beliau berkata, ada parti lain yang ingin mematikan Umno namun akhirnya mereka ‘mentalkinkan’ diri sendiri selepas bergaduh sesama sendiri, manakala UMNO masih wujud sehingga hari ini.
“Apa yang nak saya bagi tahu ialah jangan harap kepada ihsan orang, bina kekuatan sendiri. Jangan kita harapkan pertolongan orang, bantuan orang lain, dan parti lain. Binalah kekuatan dalaman kerana dengan membina kekuatan sendiri, kekuatan dalaman kita, kita akan dapat pastikan kekuatan itu dijadikan sebagai benteng untuk kita mengharungi apa jua yang akan kita hadapi,” katanya.





