PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika ada pengkritik dalam Pakatan Harapan (PH) yang tidak berpuas hati ini dengan Barisan Nasional (BN), mereka boleh menyingkirkan gabungan itu daripada Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan runtuh tanpa BN.
“Satu dapatkan semula mandat baru dengan mengadakan pilihan raya umum (PRU). Kedua, keluarkan kami secara rasmi…buat undi tidak percaya di Dewan Rakyat, bubar (Parlimen(,” katanya menyampaikan Ucapan Penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri hanya disebabkan sokongan UMNO.
“Wahai ceplos, jangan minta kita keluar dari kerajaan, mereka cabar kita keluar dari kerajaan kalau berani, barang harus diingat wahai ceplos…Perdana Menteri jadi Perdana Menteri sebab ada sokongan UMNO ,” tegasnya.
Pada sidang media selepas itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO menghormati perbezaan pandangan dalam Kerajaan Perpaduan dan akan terus bersama kerajaan sekarang sehingga akhir penggal.
Beliau berkata perbezaan pandangan antara parti dalam kerajaan perlu dihormati sebagaimana UMNO menghormati pandangan berbeza yang dilontarkan oleh parti lain.
“Perbezaan pendapat dalam kerajaan perpaduan perlu dihormati. Begitu juga kami menghormati perbezaan pendapat yang dilontarkan oleh mereka,”
Ahmad Zahid berkata UMNO dan pemimpinnya dalam Jemaah Menteri akan profesional dalam menjalankan tugas walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam kerajaan.
Katanya, resolusi Perhimpunan Agung lalu bahawa UMNO akan terus bersama Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal harus dihormati.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pandangan yang dikemukakan jurucakap sayap dan negeri pada perhimpunan agung tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi UMNO.
Beliau berkata perbezaan pandangan yang disuarakan perwakilan atau jurucakap sayap dan negeri perlu dilihat dalam konteks pandangan masing-masing.
“Kita boleh hormat perbezaan pandangan ketika kongres dan konvensyen. Mereka juga pasti boleh hormat beza pandangan yang dikemukakan oleh jurucakap sayap-sayap dari negeri-negeri,” katanya.





