KETUA Wanita PKR Datuk Seri Fadhlina Sidek menyifatkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan MADANI dengan Ahli-ahli Parlimen daripada Bersatu, MUDA dan Bebas sebagai perkembangan positif ke arah politik yang lebih matang.
Katanya, dalam demokrasi, perbezaan pendirian adalah sesuatu yang lumrah. Namun, perbezaan itu tidak seharusnya menghalang daripada mencari titik persamaan bagi menjayakan reformasi institusi dan agenda pembangunan negara.
‘’Kita mahu politik negara terus melangkah maju dengan keberanian melakukan reformasi, namun tetap teguh pada prinsip dan semangat perjuangan,’’ katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata,bagi Wanita PKR, kematangan politik bukan bererti mengabaikan perbezaan atau mengorbankan prinsip. Kita boleh berbeza pandangan, namun tetap mencari kesepakatan dalam perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat.
‘’Saya berharap persefahaman ini dapat membuka ruang yang lebih luas untuk kita memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan negara. Banyak yang telah kita rencanakan melalui Belanjawan 2027. Tanggungjawab kita adalah memastikan segala ikhtiar tersebut benar-benar sampai dan memberi manfaat kepada rakyat,’’ katanya.
Sementara itu, CSA: Bukti Komitmen Bersatu utama kepentingan nasional – Armada
Armada Bersatu pula menyifatkan langkah enam Ahli Parlimen parti itu menandatangani CSA dengan Kerajaan MADANI menjadi bukti komitmen berprinsip Bersatu dalam mengutamakan kepentingan nasional mengatasi percaturan politik kepartian demi masa depan Malaysia yang lebih stabil dan telus.
Ketuanya, Harris Idaham Rashid berkata, Armada Bersatu percaya politik matang harus berteraskan semak dan imbang yang objektif.
‘’ Secara prinsip bahawa sokongan berstruktur ini berpaksikan sepenuhnya kepada empat tonggak utama yang menjadi dasar pertimbangan parti: Kepentingan Negara, Kesejahteraan Rakyat, Kestabilan Politik, dan Keutuhan Kerajaan Persekutuan.
‘’Dalam mendepani cabaran geo-ekonomi semasa, kestabilan tata kelola domestik adalah prasyarat mutlak yang wajib dipertahankan bagi memastikan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi sentiasa dilindungi dan tidak menjadi pertaruhan,’’ katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sebagai sebuah gerakan yang mendukung utuh keputusan saf kepimpinan pusat, Armad menegaskan bahawa Agenda Pemerkasaan Bumiputera telah dipastikan oleh Bersatu untuk termaktub secara substantif sebagai instrumen utama yang tidak boleh dikompromi dalam perjanjian ini.
‘’Ini bagi menjamin ekosistem ekonomi, ekuiti pendidikan, dan peluang sosioekonomi anak watan terus dilindungi serta diperkasakan di bawah dasar persekutuan secara tuntas menerusi tuntutan parti,’’ katanya.
Harris Idaham menegaskan, penandatanganan CSA itu digerakkan atas dasar komitmen padu Bersatu terhadap reformasi Institusi yang menyeluruh.
‘’Parti telah berjaya meletakkan syarat-syarat pelaksanaan reformasi struktur perundangan yang menjadi teras kepada pemantangan demokrasi negara, penghadan tempoh jawatan Perdana Menteri, langkah institusi bagi menjamin ketelusan tadbir urus dan mengelakkan pemusatan kuasa mutlak.
‘’Pemisahan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya: Rangkakerja perundangan yang mandatori bagi memelihara kebebasan sistem kehakiman dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa sebarang campur tangan politik,’’ katanya.





