MAYAT seorang nelayan yang terjatuh dari bot ketika menangkap udang ditemukan kira-kira 400 meter dari Pulau Batu Layang, di perairan Kuala Perlis, pagi tadi.
Mayat mangsa, Khairul Amir Bahroom, 33, ditemukan komuniti nelayan tempatan kira-kira jam 8.25 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, Maritim Malaysia (APMM) meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas Pangkalan Hadapan Carilamat diaktifkan semula pada jam 8 pagi.
Katanya, operasi turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan menggunakan lima bot.
“Pada jam 8.25 pagi, pihak operasi menerima maklumat daripada komuniti nelayan berhubung penemuan satu mayat kira-kira 400 meter dari Pulau Batu Layang.
“Susulan maklumat tersebut, aset penyelamat digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan tindakan pengesanan dan pengambilan mayat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bot Benteng 1207 tiba di lokasi pada jam 9.08 pagi sebelum membawa mayat ke Jeti Kastam Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan dan siasatan lanjut.
Terdahulu, media melaporkan seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut ketika menangkap udang berhampiran Pulau Batu Layang, awal pagi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, Khairul Amir dikatakan terjatuh ke laut ketika bersama abangnya, 39, yang juga seorang nelayan.





