JABATAN Kerja Raya (JKR) menegaskan kejadian banjir kilat di Cameron Highlands, Pahang, tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti pembinaan fizikal Projek Jalan Pintasan Cameron Highlands.
Menurut JKR, projek berkenaan masih berada pada peringkat reka bentuk dan kajian penilaian serta belum melibatkan sebarang kerja pembinaan fizikal di tapak.
“Sehingga kini, tiada sebarang kerja pembinaan fizikal berkaitan projek dilaksanakan di tapak, kecuali kerja penyelenggaraan rutin di jalan sedia ada.
“Oleh itu, sebarang dakwaan yang mengaitkan kejadian banjir kilat berkenaan dengan aktiviti pembinaan fizikal projek ini adalah tidak tepat,” katanya dalam kenyataan.
JKR berkata, semakan awal mendapati kejadian banjir di kawasan Taman Mardi dan Padang Awam di Tanah Rata yang dilaporkan berlaku di jalan sekunder.
Menurutnya, lokasi berkenaan bukan sebahagian daripada jajaran jalan utama yang terlibat dalam projek terbabit.
JKR menjelaskan Projek Jalan Pintasan Cameron Highlands membabitkan pembinaan Jalan Pintasan Tanah Rata, menaik taraf Jalan Persekutuan FT59 dari Tanah Rata ke Kea Farm serta menaik taraf Jalan Persekutuan FT434 (Jalan Griddle).
Bagaimanapun, satu kejadian tanah runtuh berskala kecil berlaku di Jalan Tengkolok yang merupakan kawasan di bawah skop penyelenggaraan rutin kontraktor projek.
“Kerja pembersihan sisa runtuhan telah dilaksanakan dengan segera dan telah selesai bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pengguna jalan raya,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) memandang serius semua kebimbangan berkaitan keselamatan cerun, keadaan geologi, sistem saliran dan risiko bencana.
Pelaksanaan projek berkenaan tertakluk kepada semua penilaian, kelulusan dan syarat teknikal yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA), keperluan geoteknikal serta kelulusan pihak berkuasa tempatan.
JKR berkata, kerja pembinaan fizikal hanya akan dimulakan selepas semua kelulusan dan syarat berkaitan dipenuhi.
Terdahulu, beberapa video tular memaparkan keadaan banjir kilat di beberapa lokasi di pusat peranginan berkenaan sejak kelmarin.





