DUA wanita dipercayai pemilik kolam ikan dan pelajar praktikal maut disyaki akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Air Tawar di Kuala Besut hari ini.
Insiden mengorbankan kedua-dua mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti dikatakan berlaku kira-kira jam 1 petang ini.
Mayat kedua-dua mangsa itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, polis mengesahkan dua wanita ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sebuah kolam ternakan ikan di Pantai Air Tawar di Besut hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian membabitkan mangsa yang berusia 27 dan 49 tahun itu kira-kira jam 1.40 petang.
Menurutnya, kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan kolam berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
”Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Besut bagi tujuan bedah siasat.
”Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut hadir ke lokasi kejadian bagi membantu pemeriksaan berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rozaime berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes ini diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian tersebut.





