SEBAIK selesai Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan misi ke Keralam, dengan ketibaan di Calicut yang dikenali sebagai Kozhikode hari ini, membuka lembaran kedua dan terakhir bagi agenda lawatan kerja lima hari di India.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan delegasi Malaysia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Calicut di Keralam pada jam 4.56 petang waktu tempatan (7.26 malam waktu Malaysia).
Ketibaan Anwar disambut Konsul Jeneral Malaysia ke India Selatan, K Saravana Kumar; Konsul Jeneral Malaysia di Mumbai, Najwa Musyrifah Ramli; Menteri Pertanian Keralam, T Siddique dan Ketua Setiausaha Keralam, Bishwanath Sinha.
Turut berada di lapangan terbang bagi menyambut ketibaan delegasi diketuai Anwar ialah Pemungut Daerah Malappuram, Dr Vinay Gopal; Ketua Polis Daerah Malappuram, Chaitra Teresa John dan Pegawai Pasport Wilayah Chennai, Vijayakumar IFS, lapor Bernama.
Anwar yang juga Menteri Kewangan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan dalam lawatan kerja berkenaan.
Dari lapangan terbang, Anwar dijadualkan bertemu Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad di Markazu Saquafathi Sunniya, juga dikenali sebagai Jamia Markaz di Keralam, untuk bertukar pandangan mengenai pembangunan masyarakat, pemerkasaan pendidikan serta kesefahaman dan keharmonian antara agama.
Perdana Menteri juga akan menghadiri majlis sambutan dan Du’a Majlis, dengan beliau dijangka menyampaikan ucapan sebelum mengakhiri hari pertama lawatan di selatan India.
Esok, Anwar dijadualkan bertemu Ketua Menteri Keralam, VD Satheesan dan Gabenor Rajendra Vishwanath Arlekar untuk membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Keralam dalam sektor utama seperti perdagangan dan pelaburan, pelancongan, penjagaan kesihatan serta pendidikan.
Lawatan Anwar ke Keralam bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan memanfaatkan kerjasama strategik merentas sektor utama, termasuk perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, bakat dan buruh, pendidikan serta kesalinghubungan serantau.
Perdana Menteri tiba di New Delhi pada Jumaat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi sebagai hos.
Hubungan diplomatik moden antara Kuala Lumpur dan New Delhi dibentuk pada 1957, sejurus selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.
India kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan, dengan perdagangan dua hala mencecah AS$18.55 bilion (RM79.33 bilion) pada 2025.
Selepas menamatkan lawatan kerja di Keralam, Perdana Menteri dijadualkan berlepas ke Maldives, esok.





