`Anwar jenis kenang budi, tak sampai hati singkir UMNO’ – Hassan Abdul Karim

UMNO tidak perlu menunggu untuk disingkirkan daripada kerajaan jika mahu mencabar kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, parti itu mempunyai tiga pilihan iaitu menarik balik sokongan Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan, menteri UMNO meletakkan jawatan atau mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Anwar dalam sidang Parlimen akan datang.

Beliau turut mempersoalkan cabaran Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada pengkritiknya supaya menyingkirkan UMNO daripada Kerajaan Perpaduan.

“Adalah tidak wajar untuk membuat ancaman seperti itu terutama pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU),” kata Hassan, lapor BH.

Menurutnya, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) ialah pemimpin yang mengenang budi dan tidak sampai hati untuk memecat menteri UMNO atau menyingkirkan parti itu.

Tambahnya, UMNO juga perlu sedar bahawa Kerajaan Perpaduan bukanlah satu gabungan rasmi sebaliknya gabungan longgar dan bila-bila masa ia boleh tarik diri.

Menurutnya lagi, adalah lebih baik Ahmad Zahid mencontohi tindakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletakkan jawatan sebagai menteri selepas tewas pada pemilihan PKR.

Kenyataan Hassan itu hadir selepas Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya di PAU 2026, mengulangi ikrar UMNO untuk kekal bersama kerajaan sehingga tamat tempoh penggal.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here