
SUATU ketika dulu ahli-ahli politik khususnya daripada pembangkang membantah keras Akta Keselamatan Negeri (ISA).
Ia dibantah kerana akta itu memberikan kuasa sangat luas kepada kerajaan untuk menahan seseorang individu tanpa perbicaraan di mahkamah.
Isu utama bukan semata-mata tujuan ISA untuk menjaga keselamatan negara, tetapi bagaimana kuasa tersebut boleh digunakan dan kemungkinan disalahgunakan untuk menyekat kebebasan rakyat serta suara yang mengkritik kerajaan.
Tetapi apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini ialah CSA iaitu Confidence and Supply Agreement (CSA) atau Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan.
Ia bukanlah bertujuan politik sebaliknya sepertimana kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pemeteraian perjanjian itu bertujuan memastikan kelangsungan urusan pentadbiran kerajaan selain memberikan ruang kepada agenda pembangunan negara termasuk Belanjawan 2027 dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat.
Tambahan pula ia bukan kali pertama perjanjian seumpama itu dibuat, cuma nama sahaja berbeza. Ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, kerajaan pimpinannya turut melaksanakan satu bentuk kerjasama yang mempunyai konsep hampir sama dengan CSA sekarang.
Namun, perjanjian ketika itu dikenali sebagai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, yang dimeterai pada 13 September 2021 antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH).
Ia merupakan satu perkembangan penting kerana buat pertama kali kerajaan dan blok pembangkang utama memeterai persefahaman rasmi bagi menjamin kestabilan politik serta melaksanakan reformasi institusi.
Misi CSA yang dilaksanakan sekarang dan MoU 2021 adalah sama iaitu memastikan kestabilan pentadbiran dan politik serta kelulusan belanjawan berjalan lancar.
Sebahagian mereka di blok pembangkang yang belum menandatangani CSA turut berada dalam kerajaan pada tahun 2021. Pastinya mereka mengetahui tujuan perjanjian seumpama itu. Jangan mahu melihat semuanya dari kaca politik, minda politik dan jiwa politik.
Lagipun tidak ada faedahpun kalau pembangkang berbuat demikian kerana ketika ini mahu tidak mahu, suka atau tidak, negara memerlukan kestabilan politik dan kerajaan sedia ada harus dibenarkan menguruskan negara sebaik-baiknya.
Janganlah keputusan tidak mahu menangani CSA dibuat atas pertimbangan politik. Fikirlah rakyat di kawasan-kawasan masing-masing. Mungkin dari satu segi, ia boleh dijadikan modal kononnya kerajaan bertindak zalim kerana tidak memberi peruntukan.
Tetapi kini kerajaan bersedia mengadakan CSA, ahli-ahli Parlimen terlibat boleh mendapat peruntukan yang dikehendaki, cuma apa yang diminta ialah mereka menyokong belanjawan selain mereka juga boleh mengemukakan cadangan dasar dan sebagainya.
Melalui perjanjian itu mereka boleh membuat tuntutan yang sudah tentulah kalau munasabah ia akan dipersetujui kerajaan.
Perjanjian itu bukannya kekal sampai kiamat tetapi hanya menyokong kerajaan sedia ada kekal sehingga habis tempoh pemerintahan…itu saja…bukan lama pun paling lama sehingga penghujung tahun 2027. Sokong dari segi kelangsungan pentadbiran bukannya dari segi politik.
Seandainya selepas membuat perjanjian itu ada tindakan yang tidak sepatutnya, biarlah rakyat menilai siapa yang ikhlas, siapa yang tidak. Jangan perkecilkan kebijaksanaan rakyat dalam menilai percaturan politik.
Jurucakap Kerajaan Datuk Seri Fahmi Fahmi sudah menegaskan, kerajaan berhasrat untuk melaksanakan setiap perkara yang dipersetujui dalam CSA terutama aspek penting melibatkan reformasi institusi.
“Jadi, kita harap dengan sokongan padu yang telah diterima, ini akan dapat kita laksanakan,” katanya.
Jika sebelum ini parti-parti pembangkang sentiasa mempolitikkan bahawa reformasi yang dilaung-laungkan hanya omong kosong kerajaan tetapi kini ruang terbuka untuk memastikan ia dilaksanakan. Usahlah terjerit-jerit dalam Dewan Rakyat membangkitkan soal itu dan in, tetapi apabila diminta menandatangani CSA…terus ‘bersilat’.
Justeru pembangkang perlu mengambil kesempatan itu, kalau Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pun sudah menandatangani CSA bersama lima Ahli Parlimen parti itu dengan memberi ‘hujah terbaru’ kenapa ia dilakukan, tak kan pembangkang lain khusus Pas dan Wawasan tidak boleh berbuat demikian.
Tak kiralah apapun hujah beliau sama ada. alasan atau tidak yang penting beliau bersedia menerima CSA. Begitu juga Syed Saddiq Syed Abd.Rahman dilihat semakin matang dalam berpolitik dan meletakkan kepentingan pengundi Muar mengatasi segala-galanya.
Oleh itu diharapkan sebahagian pembangkang khususnya Pas, UMNO dan Wawasan akan menandatangani CSA. Lagipun CSA bukan ISA. CSA ada ruang perbincangan untuk memberi cadangan balas, ISA tidak begitu…tak bincang-bincang dah, terus ‘masuk dalam bincang kemudian’. Jadi jangan takut…





