`Saya akan bersihkan nama saya’ – Jamil Khir

BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertekad membersihkan nama baik beliau daripada tiga tuduhan menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan lebih RM860 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut bekas Ahli Parlimen Jerai itu, beliau akan menggunakan proses perbicaraan di mahkamah untuk menjelaskan perkara sebenar dan membersihkan nama baiknya daripada pertuduhan berkenaan.

Katanya, beliau yakin mahkamah adalah tempat terbaik untuk mendapatkan keadilan dan percaya proses itu akan berjalan sebaiknya.

“Saya akan gunakan perkara ini untuk membersihkan diri saya di peringkat mahkamah kerana ini antara tempat terbaik untuk mendapatkan keadilan.

“Saya meyakini, insya-Allah mahkamah akan memberikan (penghakiman) yang terbaik dalam keadilan ini,” katanya ketika ditemui media selepas proses pertuduhan ke atasnya di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Jamil Khir, 65, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini atas tiga pertuduhan menyebabkan TH melupuskan lebih RM860 juta antara 2015 hingga 2017.

Beliau didakwa dengan secara tidak jujur menyebabkan TH melupuskan harta institusi itu masing-masing RM42,942,074, RM288,172,134.64 dan RM529,194,561.87 kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kompleks Islam Putrajaya antara 3 April 2015 hingga 17 Ogos 2017.

Jamil Khir dalam pada itu mendakwa, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beliau adalah berkait mengenai kos sewaan hotel di Makkah oleh TH untuk jemaah haji tempatan.

“Saya dituduh ada kaitan yang dengan soal sewaan hotel (oleh) TH dan saya juga mengangkat syukur kerana perkara ini menjadi perhatian yang penting kerana salah satu daripada kos penting untuk jemaah haji ialah penginapan.

“Saya mengambil pendekatan pada waktu dahulu (ketika menjawat Menteri) untuk kita ‘lock‘ hotel-hotel dalam tempoh panjang supaya kita mendapat pulangan harga ataupun ‘lock‘ harga yang terbaik untuk mengurangkan kos haji,” dakwanya.

Beliau kemudian dilihat meninggalkan mahkamah selepas selesai membayar jaminan RM300,000 dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here