SEBANYAK 16 kematian akibat lemas direkodkan di seluruh Pahang sepanjang tahun ini, sekali gus mendorong Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti berhampiran sungai, air terjun dan pantai.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat JBPM Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata pengunjung perlu mematuhi papan tanda amaran serta larangan mandi di kawasan yang dikenal pasti berbahaya.
Beliau berkata, orang ramai juga perlu berwaspada terhadap fenomena kepala air, khususnya ketika berada di kawasan air terjun, jeram dan sungai pedalaman.
“Setakat hari ini, 16 kes lemas direkodkan di seluruh negeri membabitkan 16 kematian dan kami ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mementingkan aspek keselamatan dan fahami risiko di kawasan rekreasi.
“Jangan sesekali mandi di kawasan yang ditandakan dengan bendera merah atau papan amaran ‘Dilarang Mandi’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Salahuddin berkata, sekiranya ternampak individu dipercayai lemas, orang awam dinasihatkan supaya tidak terus terjun ke dalam air jika tidak mempunyai kemahiran menyelamat.
Sebaliknya, katanya, bantuan boleh diberikan menerusi konsep ‘Reach, Throw, Row, Go‘ dengan cuba mencapai mangsa menggunakan objek panjang seperti kayu atau galah (Reach), membaling objek terapung seperti pelampung (Throw), menggunakan bot jika ada (Row) atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk menggerakkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ke lokasi (Go).





