SPRM, NACC perkukuh kerjasama tangani rasuah rentas sempadan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan National Anti-Corruption Commission (NACC) Thailand bersetuju mempertingkat kerjasama risikan bagi membanteras kegiatan rasuah dan penyeludupan yang berlaku merentasi sempadan kedua-dua negara.

Persetujuan itu dicapai menerusi Mesyuarat Kerjasama Dua Hala Ke-8 di Bangkok pada 10 September lalu, yang memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan pertukaran maklumat serta tindakan terhadap kegiatan jenayah rentas sempadan.

DATUK Seri Ahmad Khusairi Yahaya (tengah) bersama pegawai kanan SPRM yang menghadiri Mesyuarat Kerjasama Dua Hala Ke-8 antara SPRM dan NACC Thailand yang berlangsung di Bangkok, Thailand, pada 10 September lalu. GAMBAR: SPRM

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, NACC merupakan antara rakan strategik penting Malaysia dalam menangani rasuah yang berkait dengan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan.

Menurut beliau, kegiatan berkenaan termasuk penyeludupan barangan bersubsidi, petrol, diesel, rokok, minuman keras serta pemerdagangan migran yang boleh berlaku akibat kelemahan atau ketirisan dalam penguatkuasaan sempadan.

“Bagi tempoh 2021 hingga 2026, SPRM menerima sebanyak 163 maklumat berhubung aduan rasuah berkaitan aktiviti penyeludupan di sempadan kedua-dua negara, khususnya di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan yang bersempadanan dengan wilayah Thailand seperti Songkhla, Yala, Narathiwat dan Satun.

“Sebanyak 33 kertas siasatan dibuka yang membawa kepada 38 tangkapan, 24 pertuduhan di mahkamah dan 16 sabitan kesalahan,” katanya pada mesyuarat berkenaan. Yang turut hadir, Pengarah Kanan, Pengarah bahagian dan Pengarah negeri SPRM.

Ahmad Khusairi berkata, kerjasama erat antara kedua-dua agensi turut membantu usaha mengesan saksi dan suspek yang melarikan diri dari satu negara ke negara yang lain.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Setiausaha NACC Wilayah 9, Tawichart Nillakan berkata, pertukaran maklumat secara terus antara kedua-dua agensi membolehkan tindakan lebih segera diambil tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada proses formal Mutual Legal Assistance (MLA) yang lazimnya mengambil tempoh lebih panjang.

Selain memperkukuh risikan dan penguatkuasaan, SPRM dan NACC turut bersetuju meningkatkan usaha pencegahan melalui kempen kesedaran antirasuah di pintu masuk sempadan.

Inisiatif itu akan diperkasakan khususnya bersempena sambutan Hari Antirasuah Sedunia yang disambut pada 9 Disember setiap tahun, selaras dengan usaha membentuk persekitaran sempadan yang lebih berintegriti.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here